KUALA LUMPUR: Malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang bakal berlangsung esok dijangka menjadi tumpuan utama pemain industri seni perfileman apabila pemenang kategori Filem Terbaik bukan sahaja membawa pulang trofi berprestij, tetapi juga Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1juta.
Ganjaran lumayan itu diumumkan oleh kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Komunikasi Malaysia sebagai langkah memperkukuh ekosistem perfileman tempatan serta membantu karya terbaik negara menembusi pasaran antarabangsa.
Finas dalam kenyataannya menjelaskan, pemberian dana tersebut bukan sekadar pengiktirafan terhadap karya unggul, tetapi juga tanggungjawab kepada penerima untuk menghasilkan lebih banyak filem berkualiti tinggi yang mampu mengharumkan nama Malaysia di luar negara.
Bagi kategori Filem Terbaik tahun ini, lima naskhah disenarai pendek sebagai calon utama iaitu Blood Brothers: Bara Naga, Babah, Reversi, Takluk: Lahad Datu dan Soloz: Game of Life.
Antara lima calon, Blood Brothers: Bara Naga arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra dilihat sebagai pilihan utama berdasarkan jumlah pencalonan terbanyak serta pencapaian komersial tinggi. Filem aksi itu dipuji kerana kekuatan teknikal, visual sinematik dan keseimbangan antara hiburan serta emosi.
Filem Reversi arahan Adrian Teh pula menonjol dengan pendekatan eksperimental dan tema psikologi. Lakonan Beto Kusyairi mendapat pujian meluas kerana berjaya menampilkan karakter kompleks tgerutama jika pihak juri mengangkat keberanian artistik dan pengarahan matang, Reversi berpotensi mencipta kejutan.
Sementara itu, karya Mohd Shah Faizul Ibrahim, Babah, yang membawa tema kekeluargaan dengan pendekatan emosi dan penceritaan jujur juga menjadi antara pilihan selepas mendapat perhatian kerana keaslian naratif serta lakonan berkesan yang menyentuh nilai kemanusiaan.
Tidak terkecuali, Takluk: Lahad Datu arahan Zulkarnain Azhar yang mengetengahkan tema patriotik berasaskan peristiwa sebenar dengan kekuatan sinematografi dan rekaan produksi. Walaupun jalan ceritanya dianggap mendatar, nilai semangat dan keberanian menjadikan filem ini relevan dalam konteks nasionalisme.
Calon terakhir, Soloz: Game of Life arahan Syafiq Yusof yangmenampilkan tema e-sukan dan realiti digital dianggap sebagai satu pendekatan baharu dalam sinema tempatan walaupun penceritaannya dianggap belum matang, naskhah itu tetap dipuji kerana keberanian mencuba tema moden.
Malam kemuncak FFM 34 dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim bakal berlangsung pada 1 November 2025, bertempat di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Kota Media dan akan disiarkan secara langsung melalui saluran RTM TV2 serta platform YouTube FINAS pada jam 9 malam.-UTUSAN










