Timor Leste sah anggota ASEAN

Timor Leste sah anggota ASEAN

ANWAR Ibrahim menyerahkan dokumen deklarasi Timor Leste menganggotai ASEAN kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn (paling kanan), sambil disaksikan Presiden Timor Leste, Jose Ramos Horta (kiri), dan Kay Rala Xanana (dua dari kanan), pada Majlis Perasmian Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timor Leste sah menjadi sebahagian anggota ASEAN dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 sekali gus membuka peluang besar negara itu dalam bidang pelaburan, perindustrian, pendidikan dan ekonomi digital.

Perdana Menteri Timor Leste, Kay Rala Xanana Gusmao berkata, negara itu bersedia untuk memperkukuh blok ASEAN dengan memberi sumbangan sebaik mungkin dengan tidak hanya mengharapkan bantuan semata-mata.

“Timur Leste menjadi negara anggota ASEAN dengan komitmen penuh kepada setiap negara anggota dan bersedia untuk berdikari serta bekerjasama menjaga rantau Asia Tenggara.

“Kami juga akan berusaha untuk bersama-sama membina kekuatan serantau dan memperkukuh blok dalam memastikan tiada negara anggota yang tertinggal,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Xanana Gusmao berkata, keanggotaan Timor Leste dalam blok ASEAN merupakan kesinambungan hubungan semula jadi yang berpaksikan kedekatan geografi, kesamaan budaya dan keperluan strategik untuk masa depan negara kami.

Beliau berkata, penyertaan tersebut menandakan kesinambungan visi sebuah keluarga serantau yang benar-benar bersatu dengan melibatkan nilai-nilai bersama, aspirasi sehaluan dan kejayaan kolektif.

“Sejak menjalani proses penilaian pada tahun 2011, kami telah memperkukuh institusi, menambah baik dasar-dasar negara serta memperteguh semangat kami  digerakkan oleh sokongan dan harapan daripada ASEAN serta rakan-rakannya. 

“Kejayaan ini merupakan lambang kepada semangat juang rakyat kami dan kematangan demokrasi muda yang sedang berkembang pesat,” jelasnya.

Menurut Xanana Gusmao, ASEAN hari ini menegaskan pentingnya semangat perpaduan dan kesatuan dalam kepelbagaian serta komitmen untuk memperkukuh nilai-nilai terasnya  saling menghormati, bekerjasama dan bersolidariti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN