Sidang kemuncak ASEAN 2025 melakar sejarah baharu bagi Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) apabila Timor Leste diterima secara rasmi sebagai negara angora kesebelas pertubuhan serantau tersebut.
Perjalanan Timor Leste yang mempunyai penduduk lebih kurang 1.4 juta ini, untuk menjadi negara anggota bukanlah satu proses yang mudah kerana sebagai sebuah negara yang secara relatifnya baharu merdeka semenjak 2002, beberapa liku harus dilalui.
Timor Leste pernah mengalami beberapa krisis sebelum dan selepas kemerdekaannya.
Negara ini bergolak pada tahun 2006 yang mana telah memaksa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan United National Integrated Mission in Timor Leste (UNMIT).
Malaysia adalah salah negara terawal menyumbang kepada misi UNMIT dengan menghantar lebih kurang 250 pegawai polis dan dua pemerhati tentera.
Kita juga telah membantu Timor Leste di dalam membentuk dan memberi latihan kepada pasukan polis Timor Leste. Malaysia malah menyumbang truk polis untuk kegunaan polis negara tersebut.
Saya sendiri dengan beberapa rakan universiti dijemput oleh Institut Diplomasi Timor Leste untuk membina kurikulum program latihan diplomat muda untuk negara tersebut. Kami berulang alik ke Dili selama tiga tahun memberi kuliah dan latihan kepada diplomat muda ini.p
Latihan diplomat ini sebenarnya adalah salah satu strategi Timor Leste untuk menyertai ASEAN. Tidak dapat dinafikan, negara kecil Asia Tenggara ini memerlukan diplomat profesional yang dapat mewakili negara tersebut.
Sebagai sebuah negara maritim yang mempunyai simpanan minyak yang banyak, peranan diplomat adalah penting di dalam sebarang rundingan pelbagai dan dua hala.
Walaupun Timor Leste mempunyai diplomat kanan yang sebelum ini berkhidmat di beberapa negara di Eropah terutamanya di Portugal, ianya memerlukan latihan berbentuk watan bagi membentuk jati diri yang kuat di kalangan diplomatnya.
Di samping itu sistem pendidikannya masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara serantau yang lain. Penguasaan Bahasa Inggeris masih lemah di kalangan graduan dan kualiti pendidikan tinggi masih perlu diperbaiki.
Keperluan untuk mendapatkan diplomat profesional semakin mendesak apabila para pemimpin politik negara tersebut menyuarakan kekesalan mereka terhadap perjanjian pembangunan dan eksplorasi minyak dan gas (JPDA) di Laut Timur.
Kerajaan Dili mendakwa kehilangan lebih USD 5 bilion akibat permasalahan perjanjian tersebut. Walaupun kawasan yang diterokai kebanyakannya milik Timor Leste, taktik Australia melengahkan pembangunan kerjasama tersebut telah merugikan kerajaan di Dili.
Dili merasakan mereka telah ditipu oleh kerajaan Australia yang sebelum ini memperjuangkan kemerdekaan Timor Leste daripada Indonesia.
Timor Leste adalah negara anggota Community of Portugese_Sepaking Countries (CPLP). Banyak bantuan telah diberikan kepada Timor Leste terutamanya daripada Brazil kepada Dili.
Negara ini pernah dijajah oleh Portugal sebelum Indonesia mengambil alih pentadbiran apabila Lisbon meninggalkan bekas jajahanya tanpa meninggalkan satu struktur pentadbiran politik yang jelas. Ini mengakibatkan konflik tercetus yang membawa campurtangan Indonesia.
Namun demikian, kedudukan geografinya menunjukkan bahawa Timor Leste harus bergerak bersama komuniti di Asia Tenggara. Semenjak mencapai kemerdekaan daripada Indonesia, Timor Leste terus mengorak langkah melobi untuk menjadi negara anggota ASEAN.
Apa yang paling menarik ialah Indonesia sendiri menyokong kemasukan Timor Leste dalam ASEAN setelah berpuluh tahun konflik tercetus antara kedua-duanya.
Indonesia menjadi perhatian masyarakat antarabangsa akibat daripada beberapa dasar ketenteraan di Timur Timor (nama Timor Leste sewaktu menjadi sebahagian daripada wilayah Indonesia) yang mengakibatkan krisis kemanusiaan dan pelanggaran hak asasi manusia.
Antara cabaran utama Timor Leste untuk meyakinkan ASEAN untuk menerimanya ialah kerapuhan sistem ekonomi dan kewangannnya. Timor Leste disenaraikan oleh Global Finance sebagai negara ke-35 termiskin di dunia dengan GDP hanya USD2 bilion pada tahun 2023.
Di awal kemerdekaannya, Timor Leste terpaksa bergantung kepada bantuan asing terutamanya daripada Australia, China dan Jepun. Gaji kakitangan kerajaan malah dibayar hasil daripada bantuan asing ini.
Beberapa bangunan kerajaan dan kementerian dibangunkan hasil sumbangan asing tersebut.
Timor Leste adalah Malaysia empat puluh tahun yang lalu. Struktur pembangunan sosial dan ekonomi masih belum disusun negara teratur. Kanun tanah tiada. Proses pentadbiran kewangannya masih lagi belum diintegrasikan dalam sistem serantau. Ini adalah cabaran utamanya.
Tetapi Timor Leste telah menunjukkan komitmen untuk menjadi negara anggota ASEAN. Setiap tahun ASEAN telah mengadakan lawatan penilaian terhadap kesediaan Timor Leste menjadi negara anggota. Pelbagai aspek dinilai seperti tahap kesediaan dari aspek pendidikan asas dan tinggi, pembangunan sosial, kemantapan sistem ekonomi dan kewangan, serta penyediaan tenaga pentadbiran yang profesional.
Keanggotaan Timor Leste pada tahun ini menunjukkan bahawa negara kecil telah bersedia untuk menggalas tanggung jawab sebagai negara anggota. Walaupun beberapa pemerhati serantau berpendapat bahawa Timor Leste akan menjadi bebanan ekonomi kepada ASEAN seperti mana Myanmar menjadi bebanan politiknya, namun negara ini mempunyai potensi yang besar.
Ekonominya masih belum berkembang sepenuhnya. Tidak seperti Myanmar, Timor Leste mengamalkan sistem demokrasi yang lebih terbuka malah lebih baik daripada sesetengah negara ASEAN lain. Dengan sistem demokrasi ini, Timor Leste adalah lebih terbuka untuk pembangunan ekonomi masa hadapan.
Untuk Malaysia, ini adalah titik sejarah kerana keanggotaan Timur Leste diisytiharkan sewaktu sidang kemuncak di Kuala Lumpur. Sejak sekian lama Malaysia memainkan peranan yang aktif di dalam membantu Timor Leste sebagai rakan baharunya di rantau ini.
Keanggotaan ini juga akan memberi ruang yang lebih besar kepada hubungan dua hala kedua negara untuk dipertingkatkan. – UTUSAN










