BALIK PULAU : Polis menahan tiga lelaki termasuk dua beradik dalam serbuan berasingan Jumaat lalu selepas mereka disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis ganja.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, serbuan pertama dilakukan di kawasan Pantai Jerejak dekat sini hasil maklumat serta risikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Pulau Pinang.
Katanya, dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam itu, dua lelaki yang masing-masing berusia 33 dan 43 tahun telah ditahan dipercayai ketika sedang menjalankan urus niaga berkaitan dadah dalam sebuah kereta.
“Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan sebanyak 65 ketulan mampat ganja dengan berat keseluruhan 49.38 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM153,078.
“Ketika serbuan, berlaku sedikit pergelutan apabila kedua-dua suspek yang bekerja sebagai ‘runner’ insurans kemalangan dan penganggur itu cuba melarikan diri. Bagaimanapun, tindakan pantas anggota polis berjaya menahan mereka,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Mengulas lanjut, Sazalee berkata, susulan penahanan itu, polis kemudian menahan seorang lagi lelaki berusia 48 tahun yang bekerja sebagai nelayan di Sungai Petani, Kedah, dipercayai abang kepada suspek berusia 43 tahun.
Katanya, lelaki terbabit disyaki dalang utama sindiket berkenaan yang dipercayai memperoleh bekalan ganja dari negara jiran menggunakan jalan darat sebelum diserahkan kepada orang tengah untuk diedarkan.
“Sindiket itu aktif sejak dua tahun lalu dan menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Pulau Pinang serta negeri-negeri di wilayah utara.
“Semua dadah yang dirampas ini juga boleh digunakan oleh kira-kira 98,700 penagih dadah jika terlepas ke pasaran gelap,” katanya yang memberitahu, salah seorang daripada suspek juga didapati positif dadah.
Sementara itu, Sazalee berkata, dua buah kereta jenis Proton Exora dan Nissan Sentra dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM23,500 turut disita dalam operasi yang sama.
“Semakan lanjut mendapati, kesemua suspek mempunyai antara dua hingga empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Mereka kini direman selama tujuh hari iaitu sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN