Tiga pelajar terlibat rogol di Baling dibuang sekolah

Tiga pelajar terlibat rogol di Baling dibuang sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tiga pelajar lelaki sebuah sekolah menengah yang ditahan kerana disyaki merogol seorang pelajar perempuan di Baling sudah dikenakan tindakan buang sekolah, susulan kejadian itu.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan, proses siasatan dalaman membabitkan kes berkenaan telah dimulakan pihaknya.

“Tindakan segera telah diambil untuk memberi bantuan kepada mangsa. Tumpuan utama pada ketika ini adalah untuk memastikan kesejahteraan mangsa diberi perhatian.

“Kes ini kini sedang berada dalam siasatan pihak polis dan semua suspek telah ditahan reman. JPN Kedah memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar kenyataan itu, JPN Kedah mengambil perhatian serius kes rogol dan penyebaran video kelakuan tidak senonoh melibatkan pelajar terbabit.

“Kementerian Pendidikan tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual di institusi pendidikan dan sedang berusaha untuk menambah baik setiap aspek bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan,” katanya.

Terdahulu, tiga pelajar sebuah sekolah termasuk seorang bekas pelajar ditahan polis Ahad lalu setelah disyaki terbabit dalam kes salah laku seksual di dalam kelas dan menyebarkan bahan lucah di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali berkata, kesemua mereka ditahan pada hari sama pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu berusia 53 tahun yang dibuat kira-kira pukul 11 pagi.

Katanya, laporan dibuat pengadu selepas dia dimaklumkan guru disiplin berkaitan penularan rakaman video membabitkan anaknya yang berbogel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN