ALOR SETAR: Tiga daerah di negeri ini iaitu Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena masih dilanda banjir dengan 1,005 penduduk terpaksa berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS), hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan, Pendang setakat pukul 8 pagi ini, merekodkan 557 mangsa daripada 156 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS.
Dua PPS di Kota Setar pula menempatkan 361 mangsa daripada 102 keluarga, sementara 87 penduduk melibatkan 24 keluarga di Pokok Sena berada di sebuah PPS.
Sebelum ini, Kulim, Baling, Sik, Padang Terap dan Kuala Muda antara yang terjejas ekoran banjir sejak minggu lalu, namun kesemua kawasan itu sudah pulih dengan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Sementara itu, hanya Sungai Pendang di Pekan Pendang berada dalam kategori bahaya setelah paras air semasa setinggi 3.43 meter, manakala Sungai Kedah di Ampang Jajar, Kota Setar berada pada tahap waspada. -UTUSAN










