JERANTUT: Tiga beradik di Felda Kota Gelanggi Dua di sini, berdepan kesukaran kewangan kerana menanggung kos kebajikan dan rawatan ibu mereka yang terlantar akibat angin ahmar.
Noriah Keria, 79, memerlukan penjagaan rapi termasuk susu khas, lampin pakai buang, rawatan berkala di hospital dan keperluan harian lain yang menelan belanja kira-kira RM2,000 sebulan.
Nik Nurliana Nik Razi, 29, berkata, mereka tidak dapat menyediakan jumlah itu kerana dia tidak bekerja manakala adiknya iaitu seorang ibu tunggal berniaga kecil-kecilan dan kakak pula pembantu kedai makan dengan masing-masing memperoleh antara RM20 hingga RM30 sehari.
“Suami saya dan kakak bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan tidak seberapa sudah tentu tidak mampu menampung membiayai kebajikan ibu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nik Nurliana berkata, sejak Noriah diserang angin ahmar pada Ogos lalu, mereka bergilir-gilir menjaganya serta berdepan masalah kewangan untuk menyediakan keperluan kebajikannya.
Katanya, ibunya sudah menjalani rawatan fisioterapi sebanyak lima kali di hospital dan keadaannya masih tidak berubah.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nik Nurliana Nik Razi menerusi talian 013-3259557 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam, Noriah Keria bernombor 06037023262380. – UTUSAN