Tidak lagi mengharap jodoh - Sherry Ibrahim

Tidak lagi mengharap jodoh – Sherry Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON, Sherry Ibrahim, 42, hanya tersenyum apabila kisah cinta lamanya sebelum ini diungkit dan diperkatakan semula di media sosial.

Malah, dia juga reda berhadapan pandangan orang yang membuat telahan kononnya pintu hatinya sudah tertutup dek kegagalan percintaan dulu.

Hakikatnya Sherry atau Syarizad Ibrahim tidak sesekali berputus asa mengenai jodoh. Cuma kini dia reda, bertawakal dan tidak lagi berharap.

“Hati saya tidak pernah tertutup, malah sebenarnya ada lelaki yang mendekat. Cuma ada sebab saya tolak, antaranya tak mahu memberi harapan.

“Jodoh ini Allah S.W.T tentukan. Saya percaya, kalau jodoh ada, Allah yang akan hadirkan suami yang jujur dan sedia menjaga saya. Suami yang seperti mana saya minta dalam doa saya.

“Jadi sekarang ini saya berserah. Ada sebabnya jodoh saya belum hadir. Justeru, saya tidak lagi meletakkan harapan tentang ini.

“Allah maha adil, setiap hambaNya diuji. Saya mungkin dengan jodoh. Jadi janganlah saya terbeban memikirkan soal kahwin. Doa sahaja yang baik,” katanya.

Bercakap soal berpasangan, kata Sherry, pada usianya sekarang bukan lagi tempoh untuk membuang masa mencari cinta.

“Saya ini komited dalam perhubungan. Bahkan, hubungan sebelum ini bukan sebulan dua, malah beberapa tahun juga bertahan. Malah saya kenalkan pasangan saya kepada keluarga.

“Sekarang ini saya tak ada masa bercinta lama. Kalau hadir lelaki yang tepat dan keluarga juga merestui, saya teruskan untuk berumah tangga.

“Kalau tak ada, saya harap jodoh saya ada di syurga,” selorohnya.

Dalam pada itu Sherry menegaskan lambakan kes perceraian yang juga terkait dalam kalangan artis tidak sedikitpun mempengaruhi pandangannya mengenai perkahwinan.

“Saya tak pernah takut untuk berkahwin. Malah saya percaya setiap manusia melalui jalan hidup yang berbeza. Kalau bercerai, itu sudah ditentukan.

“Jangalah pula kita samakan hidup kita dengan orang lain. Saya percaya qada dan qadar. Setiap yang berlaku ada sebabnya,” jelasnya.

Sementara itu, pelakon yang dikenali menerusi drama Dunia Baru ini akan terus mengambil pendekatan untuk tidak terlalu berkongsi hal peribadi di media sosial.

“Dari dulu memang saya jarang berbuat begitu. Saya memang tak gemar berkongsi cerita personal dengan umum, lebih banyak paparkan berkaitan kerja dan aktiviti senaman sahaja.

“Tapi janganlah pula disebabkan itu, pelbagai spekulasi atau telahan pula timbul. Kononnya kehidupan saya menyedihkan, masih terperangkap dengan cerita lama dan sebagainya.

“Hidup saya bahagia bersama keluarga dan rakan-rakan walaupun saya belum berumah tangga. Cuma kebahagiaan itu saya tak tunjuk di media sosial,” kongsinya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN