PETALING JAYA: Tiada sebarang perubahan dasar dibuat berkaitan kelayakan jenis kenderaan yang boleh digunakan bagi perkhidmatan e-hailing di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua kenderaan yang memenuhi syarat teknikal serta mempunyai kapasiti tempat duduk antara empat hingga 11 orang masih layak untuk dipertimbangkan bagi tujuan pelesenan E-Hailing Operation (EHO).
“Kementerian ingin memberikan penjelasan berhubung laporan media yang telah menimbulkan kekeliruan mengenai status kenderaan jenis Sport Utility Vehicle (SUV) bagi tujuan pendaftaran e-hailing.
“Untuk makluman, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau kenyataan yang mengehadkan penggunaan kenderaan jenis SUV bagi tujuan pendaftaran e-hailing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siew Fook berkata, pihaknya memahami kebimbangan yang timbul dalam kalangan pemandu e-hailing serta syarikat pengendali susulan laporan tersebut.
“Kementerian memberi jaminan bahawa urusan pendaftaran kenderaan akan diteruskan seperti biasa mengikut peraturan serta garis panduan sedia ada,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Aktivis Gabungan E-hailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin dilaporkan berkata, pengecualian SUV sebagai kenderaan yang diluluskan dalam pelesenan e-hailing menimbulkan kebimbangan lebih 10,000 pemandu akan nasib sumber pendapatan mereka.
Katanya, pemandu SUV kini berdepan dengan masalah bagi mengemas kini permit e-hailing masing-masing.-UTUSAN









