Tiada saksi lihat penuntut UM terjatuh

Tiada saksi lihat penuntut UM terjatuh

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan masih dijalankan polis berhubung kematian penuntut Universiti Malaya (UM), Allahyarham Ahmad Arif Zawir Mohd. Ali yang dipercayai terjatuh di kolej kediamannya pada Jumaat lalu, memandangkan tiada saksi yang dikenal pasti melihat kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tempat tinggi di bangunan empat tingkat berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kes ini, selain itu polis turut mendapati tiada saksi yang melihat ketika kejadian.

“Polis telah mula merakam keterangan melibatkan rakan-rakan serta ahli keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebarang perkembangan berkaitan kes itu akan dimaklumkan.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, tiada unsur jenayah dikesan berkaitan kes berkenaan.

Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi, selain mangsa juga didapati mengalami kecederaan di bahagian dada serta tiada kesan jerutan dan sebarang unsur jenayah.

Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 3.15 petang dan mangsa di bawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 4.25 petang oleh pegawai perubatan hospital berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN