GEORGE TOWN : Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) mengesahkan bahawa tiada operasi sekolah di negeri ini yang ditutup susulan jangkitan influenza setakat ini.
Pengarahnya, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, sebaliknya, notis penutupan itu hanya melibatkan kelas-kelas yang disahkan mempunyai kes jangkitan di sekolah yang berkenaan sahaja.
“Jadi, tiada operasi sekolah yang ditutup secara keseluruhannya. Jika ada kes jangkitan, pihak PKD (Pusat Kesihatan Daerah) akan buat pemeriksaan dan keluarkan notis penutupan bagi kelas-kelas yang dikenal pasti mempunyai murid dijangkiti sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut beliau, JPN Pulau Pinang akan mengeluarkan notis penutupan kelas mengikut nasihat PKD termasuk menentukan jumlah kelas yang terlibat dan tempoh penutupan yang perlu dilaksanakan.
Katanya, penutupan sementara kelas terbabit bertujuan memastikan jangkitan tidak menular serta memberi ruang kepada pihak sekolah untuk melaksanakan kerja-kerja sanitasi secara menyeluruh.
“Sebagai langkah pencegahan, pihak sekolah, khususnya sekolah rendah, akan melakukan pemeriksaan atau saringan awal sebelum murid masuk ke kawasan sekolah. Dalam hal ini, murid yang bergejala akan diminta untuk mendapatkan rawatan segera,” jelasnya.
Tambah beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) juga telah mengeluarkan panduan pencegahan jangkitan influenza kepada semua sekolah berdasarkan nasihat dan kepakaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).-UTUSAN










