SEPANG: Lembaga Tabung Haji (TH) akan mempertimbang cadangan supaya umur 60 tahun diberi kelayakan automatik bagi menunaikan haji menerusi pakej muassasah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, buat masa ini dasar penggiliran menunaikan haji ditentukan berdasarkan tarikh pendaftaran awal.
“Polisi sekarang adalah siapa yang daftar dahulu, dia didahulukan. Saya faham isu usia tersebut, tapi insya-Allah usul itu akan dibincangkan dan diberikan pertimbangan oleh Tabung Haji,” katanya ketika ditemui pada Majlis Serahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) 1447H/2026 di sini hari ini.
Semalam, beberapa Ahli Parlimen memohon TH mempertimbangkan supaya individu berumur 60 tahun ke atas diberikan kelayakan automatik untuk menunaikan haji melalui pakej muassasah.
Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali dilaporkan berkata, sistem pendaftaran haji ketika ini memerlukan warga emas yang tidak tersenarai dalam giliran haji tahun semasa membuat rayuan dan jika permohonan diluluskan, perlu membayar bayaran haji penuh iaitu RM33,300.
Dalam perkembangan lain, Mohd Na’im berkata, beliau sekali lagi mengingatkan kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan mana-mana individu atau syarikat yang menawarkan kuota haji tanpa kebenaran TH.
“Saya merayu kepada rakyat, khususnya mereka yang benar-benar berhasrat menunaikan haji, supaya berhati-hati jika didatangi individu yang menawarkan kuota haji dengan jumlah yang tidak masuk akal.
“TH tidak ada individu ataupun syarikat yang boleh mengendalikan urusan haji tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada TH. Yang ini memang ada dalam akta,” katanya.
Menurutnya, sebuah jawatankuasa khas diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut dianggotai TH dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana syarikat atau individu yang menipu. – UTUSAN










