PETALING JAYA: Perayaan Deepavali yang disambut hari ini perlu digunakan kesempatannya oleh masyarakat untuk terus menyemai perpaduan, menyantuni individu yang memerlukan sekali gus memperteguh semangat kekitaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, elemen berkenaan penting kerana ia menjadi teras dan asas kekuatan negara yang berbilang bangsa.
“Sebagai sebuah bangsa yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan, marilah kita terus memupuk semangat saling menghormati dan memperkukuh persefahaman antara satu sama lain.
“Deepavali tiba dengan penuh keceriaan, membawa bersama semangat Pesta Cahaya, lambang kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan menundukkan kejahatan serta kekuatan ilmu mengatasi kejahilan
“Moga perayaan Deepavali kali ini diraikan dengan jiwa yang penuh kesyukuran dan semangat kebangkitan pemikiran yang segar, agar darjat serta harakat rakyat terus terangkat menuju Malaysia yang lebih harmoni dan sejahtera,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. – UTUSAN










