Terus bersemangat hasilkan drama kepolisan - Utusan Malaysia

Terus bersemangat hasilkan drama kepolisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK Yusof Haslam tidak terus menerus menerima lamaran stesen televisyen Sarawak (TVS) untuk menyambung semula penghasilan dan menayangkan drama popular, Gerak Khas di stesen TV berkenaan.
Malah, pengarah disegani itu terpaksa berfikir semasak-masaknya sebelum membuat pertimbangan.

Tambahan pula isteri beliau, Fatimah Ismail dan anak, Nursyamin Yusof lebih inginkan Yusof berehat daripada kerja pengarahan kerana faktor usia.

Namun, semangat dan kecintaan yang masih menebal kepada dunia pengarahan dan pembikinan drama kepolisan akhirnya berjaya mempengaruhi keputusan beliau untuk menerima tawaran berkenaan.
Kata Yusof, selagi sihat dan berpeluang, dia akan meneruskan minat itu yang diperjuangkannya sejak empat dekad lalu.

“Isteri dan anak sebenarnya tidak bersetuju kerana mereka mahu saya berehat. Tapi saya ini orangnya sentiasa aktif. Malah di rumah pun saya aktif dengan menguruskan tanaman dan ternakan.

“Jadi kenapa perlu saya berehat? Saya masih ada keupayaan dan saya sayangkan bidang pengarahan ini. Saya perlu teruskan selagi diberi kesihatan. Tawaran yang diberikan pihak TVS itu sedikit sebanyak telah membakar semangat saya.

“Saya akan terus berjuang selagi berkemampuan. Minat saya terhadap drama kepolisan ini terlalu mendalam. Bayangkan saya bermula kosong dan lalui pelbagai kesusahan sepanjang membina jenama Gerak Khas. Jadi saya tak akan tinggalkan,” katanya.

Kata Yusof, semangat dan keinginan untuk menghasilkan drama dan filem kepolisan tertanam dalam dirinya sejak 44 tahun lalu.

Beliau mengenang hasrat kenalan yang juga berkhidmat sebagai anggota polis yang satu ketika dahulu pernah menyuarakan keinginan untuk melihat drama kepolisan diangkat.

“Idea menghasilkan drama kepolisan ini tercetus selepas saya menerima galakkan ramai anggota polis yang pada 1981, turut menjayakan filem Bukit Kepong arahan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin pada tahun 1981.

“Semangat itu saya teruskan sehingga sekarang. Ia menjadi sebahagian darah daging saya dan disebabkan itu, selagi berkeupayaan, saya akan teruskan menghasilkan drama kepolisan.

“Dan semangat itu diturunkan kepada anak-anak saya, contohnya Syafiq Yusof yang sudah pun ke depan dengan filem Sheriff dan sebagainya,” kata Yusof lagi.

GERAK KHAS 2.0

Keterujaan Yusof untuk menghasilkan Gerak Khas 2.0 menebal sementelah beliau sendiri menyedari betapa ramainya peminat dalam kalangan penduduk Sabah dan Sarawak terhadap drama berkenaan.

Istimewa untuk peminat yang sejak dulu memberi sokongan, Gerak Khas kali ini akan ditampilkan dengan banyak pembaharuan membabitkan skop yang diperluaskan kepada kupasan kes kepolisan membabitkan dua negeri tersebut.

“Tapi penggambaran tidak semua dilakukan di Sabah dan Sarawak, kekal membabitkan semenanjung Malaysia. Pada masa yang sama, pihak produksi juga akan mengekalkan sebahagian pelakon lama yang akan digandingkan dengan pelakon baharu serta bakat dari Bumi Kenyalang,” kongsinya mengenai drama 26 episod itu.

Dalam masa yang sama, Yusof juga berkongsi perancangan beliau untuk memujuk penyanyi bertaraf legenda, Dayangku Intan untuk berlakon dalam drama tersebut.

“Beliau pun tak pernah berlakon drama kepolisian, jadi saya akan cuba pujuk untuk membuat kemunculan dalam drama ini. Saya nampak kesesuaian Dayangku Intan, tambahan pula sebelum ini beliau pernah menyanyikan lagu Sarawak,” kongsinya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN