'Terlantar koma, hanya 50 peratus peluang untuk sedar' - Utusan Malaysia

‘Terlantar koma, hanya 50 peratus peluang untuk sedar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM Inteam tercipta, mereka hanyalah anak-anak belasan tahun yang menyukai Raihan. Mereka membeli kopiah dan menyarungkan baju ala kumpulan itu sambil bernyanyi di bawah tangga, bilik air, dalam kelas atau di mana sahaja ruang bergema.

Anggota awal kumpulan itu berjodoh di kampus sama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia walau jurusan berbeza iaitu Hazamin Harun (Kejuruteraan Mekatronik), Syahril Khalid (Kejuruteraan Automatif), Suhaimi Saad (Bahasa Arab) dan Hisyam Ahmad (Ilmu Wahyu). Hijjaz Records mula melihat bakat mereka, mengambil sebagai artis rakaman, menyusun strategi penjenamaan sebelum bersedia membawa Inteam ke arus perdana dengan album pertama, Kasih Kekasih.

Album itu meletup dengan lebih 80,000 unit jualan, cukup cemerlang untuk meletakkan empat orang anak muda baru memasuki usia 20-an sebagai pusat perhatian. Nasyid mula meledak mengutip peminat pelbagai kaum setaraf artis popular lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza yang ketika itu meluncurkan album berentak etnik tradisional, Sahmura hingga Datuk Amy Search dengan album rock Suatu Masa.

“Waktu itu memang boleh dikatakan kami tidak melalui fasa yang sama dengan rakan sebaya. Sebab hari Jumaat bila pergi kelas, kami akan bawa baju siap-siap. Habis sahaja kelas, kami terus gerak pergi buat persembahan hujung minggu. Balik hari Isnin, terus masuk kelas,” cerita Hazamin di suatu petang menerusi temu ramah eksklusif kami bersama Inteam.

 


Walaupun nama mereka sedang ‘panas’ ketika itu, mereka bersyukur kerana mahasiswa di kampus UIAM tidak pula bertindak fanatik, sekadar minta tandatangan, tanggap gambar senyap-senyap atau berbual sesama mereka. Namun mereka terharu dengan sokongan diberikan setiap kali Inteam melakukan persembahan, pasti penuh dewan melimpah hingga ke tangga.

Seperti kumpulan lain, Inteam turut melalui perubahan ahli, kedatangan Rahim contohnya hingga pengunduran Suhaimi Saad yang pada ketika itu sempat memicu perhatian media. Inteam mula memasuki ruang pojok gosip, cukup hangat masing-masing berspekulasi apa yang terjadi.

Namun mereka tidak sedikitpun membuka aib, mengapi-api apa terjadi. Malah alur lagu-lagunya mereka juga melalui perubahan ketara terutama di era album Tiada Lagi Kasih sesuai dengan kematangan mereka.

Doktor beritahu cuma 50 peratus peluang untuk sedar

Semasa temu ramah ini berjalan, saya tidak hanya berkesempatan bertemu anggota Inteam, malah Ina Naim yang juga isteri kepada Allahyarham Suhaimi Saad turut menyertai kami di meja sama. Inteam dan seluruh anggotanya pernah ditampar badai apabila vokalis utama, Syahril ditidurkan dua minggu di Hospital Sungai Buloh akibat jangkitan paru-paru.

“Doktor beritahu kami, peluang untuk dia sedar hanya 50 peratus sahaja. Ketika itu memang rasa berat kerana dia ibarat tulang belakang kami. Sepanjang

waktu itu, kami minta tolong rakan-rakan penyanyi nasyid lain untuk gantikan posisi Syah. Pada masa sama kita ada Hisyam. Dia banyak ambil peranan waktu persembahan.

“Cuma ketika itu, kami yakin yang Syah akan sedar. Tidak terfikir Inteam perlukan plan B (menggantikan Syah secara kekal). Kami ingat lagi ramai yang doakan, imam di masjid termasuk mufti wilayah persekutuan sendiri buat solat hajat,” cerita Hazimin.

Menurut Ina, ketika mendengar keadaan Syahril yang kritikal, Allahyarham Suhaimi menangis dan turut melakukan solat hajat memohon kesembuhan agar sahabatnya itu sedar daripada koma selain pergi melawat di hospital.

“Bermacam cara kami cuba, belikan pemain MP3, mainkan ayat suci al-Quran. Ingat lagi ikhtiar terakhir, kami berjumpa seorang ustaz di Negeri Sembilan sebab kebetulan kami ada persembahan di Seremban. Waktu itu sudah ada khabar angin bertebaran, ada yang sebarkan berita palsu kononnya pihak hospital sudah cabut wayar Syah.

“Ustaz itu seorang alim yang mengubati orang sakit. Dia pesan suruh azan di telinga dan ‘panggil’ Syah balik. Jadi kami buat, tidak lama selepas itu Alhamdulillah dia sedar. Antara benda pertama yang dia minta waktu sedar ialah mahu solat,” cerita Rahim.

Mengimbas detik itu, Syahril masih ingat sebaik sahaja sedar, wajah pertama yang dia lihat ialah Allahyarham Suhaimi Saad.

“Bangun-bangun, saya dengar ada orang mengaji rupanya pemain MP3 itu. Kemudian nampak arwah Suhaimi. Sempat minta air sebab saya rasa sangat haus, ingat lagi saya minta air oren. Tapi sebenarnya saya belum boleh minum air menyebabkan tersedak.

“Arwah peluk saya, tapi saya cakap ‘jangan peluk, ana tengah sakit (takut berjangkit),” cerita Syahril.
Bagaimanapun, walaupun sudah sedar daripada koma, dia diuji dengan kehilangan suara. Vokalis utama Inteam tidak boleh bercakap, apalagi bernyanyi.

Syahril mengambil masa setahun untuk mengembalikan vokal suara seperti sedia kala.

Arwah Suhaimi Saad, jenazah pertama dimandikan

Fasa ‘merajuk’ antara Inteam dan Suhaimi tidaklah terlalu lama. Mereka kemudian berbaik semula seperti adik-beradik yang bertelagah.

Oleh itu, pemergian Suhaimi Saad akibat jangkitan paru-paru (juga sakit yang sama seperti Syah) memberi tamparan hebat buat semua anggota Inteam.

“Ingat dulu Syah kata dekat arwah ‘jangan peluk, ana tengah sakit’?,  sebenarnya itu juga kata-kata yang arwah bagi dekat Syah waktu dia tengah sakit dulu. Tapi masing-masing tetap peluk antara satu sama lain.

“Beberapa bulan sebelum arwah pergi, ketika itu dia sakit mata. Tapi berkeras juga mahu pergi majlis kenduri kahwin pengurus Inteam di Kelantan. Sayalah yang memandu. Takdir Allah, itulah kali terakhir semua anggota Inteam berkumpul dan nyanyikan lagu Impian Kasih,” cerita Ina.

Ketika khabar buruk itu Suhaimi menghembuskan nafas terakhir pada 15 November 2023, Hazimin berada di Mekah, tidak sempat mengiring jenazah ke rumah abadi.

“Saya tidak ada pengalaman urus dan mandikan jenazah. Rupanya jenazah pertama yang saya uruskan adalah sahabat sendiri. Apapun yang terjadi, pemergian arwah sangat meng­hidupkan. Banyak kebaikannya kemudian dipercakapkan,” cerita Syah.

Kini, biarpun arwah Suhaimi Saad sudah tiada, Inteam terus membina hubungan baik dengan Ina serta memberi sokongan kepada anak arwah, Ehmad Hadie yang mencuri tumpuan di program Talk To My Manager, baru-baru ini.

“Arwah tinggalkan legasi, dahulu kita nampak Hadie kecil sahaja, sekarang sudah berani ke pentas besar tidak hanya nyanyi di TikTok. Hadie macam wakil anak-anak kami semua.
“Kagum dengan takdir Allah, begitu juga dengan Ina, waktu kahwin bawa kami juga suami baru dan kami bersahabat pula dengannya,” ujar Hazi­min.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN