Terbiasa makan murah, dulu keluarga susah pernah ikat perut - Eman Manan - Utusan Malaysia

Terbiasa makan murah, dulu keluarga susah pernah ikat perut – Eman Manan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Eman Manan, mengakui bahawa cara hidupnya yang sederhana sejak kecil di kampung banyak membentuk gaya pemakanannya hari ini.

Bercerita lanjut, Eman atau Abdul Manan Embong, 66, mengakui membesar dalam keluarga yang susah hingga ada masanya perlu ikat perut.

Namun bagi Eman, beliau tidak pernah menganggap kehidupan waktu itu susah, kerana seluruh masyarakat ketika itu hidup dalam keadaan serupa.

“Sampai sekarang saya makan yang murah-murah, bukan yang mahal. Saya orang kampung, bukan daripada keluarga yang senang.

“Tapi ketika itu tak rasa susah, cuma bila dikenang semula begitulah. Jiran kami pun makan begitu juga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, kehidupan di kampung banyak mengajarnya menghargai rezeki dan menikmati makanan segar yang diperoleh terus dari sumber alam.

“Makanan kampung segar, petik saja. Dari dulu sehari makan dua kali, kadang tiga.

“Pernah juga ikat perut tapi kami puas dengan apa yang ada. Contohnya kalau tak ada apa untuk minum petang, tak mengapa. Saya tak mendesak keluarga,” tambahnya.

Tampil sihat dan bertenaga pada usia melebihi enam dekad. Eman jarang mengambil makanan segera.

“Saya memang kurang ambil makanan segera. Bila bercakap tentang sihat, orang selalu cakap soal pemakanan, tapi satu perkara asas yang tak boleh dilupa ialah takdir.

“Saya makan dan minum apa yang ada, tapi saya tahu juga seperti kata doktor, makan pun boleh jadi punca penyakit,” ujarnya.

Beliau percaya keseimbangan adalah kunci utama membuatkan seseorang harus makan mengikut keperluan tubuh, bukan sekadar untuk memenuhi selera.

“Ikut keperluan badan. Ada masa makan banyak, ada masa makan sikit. Nak cadangkan orang makan apa pun saya tak pandai,” katanya.

Bagaimanapun, Eman turut menekankan bahawa kesihatan bukan hanya berkisar pada apa yang dimakan, tetapi juga bagaimana tubuh menyingkirkan lebihan makanan.

“Saya memang kurang gula daripada dulu. Kita juga kena ingat, nak sihat jangan cakap tentang makan sahaja, kena cakap juga tentang membuang. Ada orang makan dua tiga hari tapi tak buang,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN