KUALA LUMPUR: Dunia kewangan Islam perlu menerokai sistem kewangan yang bukan sekadar menjana keuntungan, tetapi pendekatan kewangan yang lebih beretika dan beroirentasikan nilai tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam pertemuan beliau bersama pelabur dari Asia Barat, ASEAN, Eropah dan pelbagai negara lain, antara sering diketengahkan adalah menuntut sistem kewangan dengan tujuan yang bermakna demi kesejahteraan sejagat.
Beliau menegaskan, pendekatan perniagaan beretika dan bertanggungjawab perlu terus diperkukuh menerusi kerjasama rentas sempadan, inovasi dan usaha menuju kemakmuran yang dikongsi bersama.
“Kita membangunkan sektor takaful yang kukuh dan kompetitif serta menerima teknologi kewangan (fintech) dan platform digital sebagai satu bentuk wakaf, menghubungkan tradisi dengan teknologi moden.
“Tidak hairanlah Malaysia sentiasa diiktiraf sebagai hab kewangan global yang dipercayai, di mana para pelabur dapat menemui kestabilan, kejelasan dan peluang yang disokong oleh asas etika yang kukuh,” katanya pada Forum Kewangan Islam Global (GIFF 2025) di Sasana Kijang d sini semalam.
Anwar berkata, kejayaan Malaysia dalam sektor kewangan Islam bukan pencapaian diraih dalam sekelip mata, sebaliknya hasil kerja keras, inovasi, ketahanan dan kemakmuran selama beberapa dekad.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berharap semua pihak kembali kepada asas dan nilai teras yang menjadi tunjang, selain memberi tumpuan terhadap pasaran sukuk global atau sukuk hijau selain berkaitan kelestarian.
Anwar berkata, instrumen kewangan Islam perlu diterapkan dengan prinsip tadbir urus yang baik, keadilan dan nilai murni, dengan tidak hanya berteraskan keuntungan semata-mata.
Katanya, pengenalan instrumen kewangan Islam perlu bermatlamat selaras dengan Maqasid Syariah dengan memastikan kesejahteraan ummah menerusi keadilan sosial dan amanah dalam pengurusan ekonomi.
“Saya ingin merayu kepada semua untuk teruskan usaha ini, kerana instrumen ini bertindak sebagai pelengkap kepada keseluruhan sistem Maqasid al-Syariah, menghasilkan keuntungan dengan tujuan, dan tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang,” katanya. – UTUSAN









