ALOR SETAR: Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz perlu membuktikan dirinya sebagai ahli politik akar umbi dan bukan sekadar teknokrat sekiranya mahu kekal relevan dalam landskap politik Malaysia.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rusdi Omar berkata, Tengku Zafrul perlu merancang langkah strategik mengenai hala tuju politiknya bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Beliau dalam situasi yang agak rumit selepas tempoh perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Negara berakhir pada Disember ini, cabaran utamanya adalah perlu mendapat kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika mahu kekal relevan dalam politik arus perdana.
“Tengku Zafrul perlu membuktikan kredibiliti beliau sebagai ahli politik akar umbi, bukan sekadar teknokrat yang dilantik selain menghadapi persaingan di peringkat PKR Cabang Ampang terutama dengan pemegang-pemegang amanah sedia ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mingguan Malaysia kelmarin melaporkan Tengku Zafrul akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hala tuju dan peranannya dalam karier politik mendepani PRU16.
Rusdi berkata, kedudukan Tengku Zafrul juga bergantung kepada sejauh mana Presiden PKR itu boleh menjadi Perdana Menteri sekali lagi atau sebaliknya selepas PRU16.
Katanya, hal ini kerana bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu berpotensi untuk terus menjadi menteri atau diberi jawatan menteri besar sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada PRU16.
“Jika memilih untuk bertanding PRU16, beliau mungkin akan ditempatkan di kawasan yang strategik. Bagaimanapun, ini memerlukan kerja keras membangunkan jentera politik dan hubungan dengan pengkalan akar umbi.
“Namun masa depan politik Tengku Zafrul berkemungkinan besar akan terus berada dalam ekosistem politik Malaysia, tetapi dalam kapasiti yang mungkin berbeza daripada jawatan menteri,” ujarnya.-UTUSAN










