ROMPIN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi kerabat diraja Pahang pertama menamatkan Kursus Asas Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (Paskau) seterusnya dinaikkan ke pangkat Mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Majlis pemakaian pangkat yang berkuatkuasa pada 18 Oktober lalu itu disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Kolonel Yang Dipertua TUDM dalam istiadat ketenteraan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
Al-Sultan Abdullah dalam titah ucapan pada Majlis Jamuan Diraja di Pantai Hiburan di sini, menzahirkan rasa bangga atas kejayaan Tengku Hassanal.
“Saya terlebih dulu teruja untuk membuat ucapan kerana saya anggap hari ini satu hari yang cukup istimewa bagi saya dan keluarga kerana dapat melihat dengan bangganya lahirnya seorang Paskau daripada kalangan keluarga saya. Mudah-mudahan ramai lagi Paskau akan dilahirkan daripada keluarga saya,” titah baginda.
Pada majlis berkenaan, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Beret Biru Paskau, Lanyard Biru dan Dagger Paskau kepada Tengku Mahkota Pahang serta Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, yang turut menamatkan latihan kepakaran Paskau.
Tengku Mahkota Pahang memulakan latihan pada 28 Julai lalu dan menamatkannya pada 26 Oktober lalu, manakala Panglima Tentera Udara memulakan latihan pada 28 Ogos lalu dan tamat pada 17 Oktober lalu.
Sultan Pahang dalam titah baginda turut menekankan kepentingan aspek sumber manusia dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Jadi, latihan yang akan diadakan harus dipertingkat dari segi ‘fitness’ dan kecekapan dan ini tidak boleh kita kompromi. Sya harap pegawai-pegawai Air Force (TUDM) akan terus meningkatkan kesihatan, walaupun usia meningkat jangan cepat kita memikir untuk pencen. Selagi kita kuat selagi itulah kita patut menjaga kesihatan kita,” titah baginda.
Sementara itu, Muhamad Norazlan berkata, Kursus Asas Paskau Siri 32/25 dilaksanakan di Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT), Bukit Ibam di sini selama 12 minggu bermula 28 Julai hingga 26 September lalu di bawah tanggungjawab Leftenan Kolonel Raymond Radsung.
Kursus berasaskan konsep Jungle Warfare dan Urban Warfare ini menguji ketahanan mental serta fizikal para peserta melalui lima peringkat utama latihan, termasuk kem, hutan, jalan lasak sejauh 160 kilometer, laut dan perairan, serta latihan SERE (Survival, Evasion, Resistance and Escape).
Daripada 53 peserta asal, hanya 22 orang iaitu terdiri daripada seorang pegawai dan 21 anggota lain-lain pangkat berjaya menamatkan latihan dan layak menyarung Beret Biru Paskau.
Kejayaan ini sekali lagi membuktikan bahawa hanya mereka yang mempunyai semangat juang tinggi, disiplin mantap dan ketahanan luar biasa mampu bergelar anggota elit Paskau. – UTUSAN










