KUALA LUMPUR: Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempersoalkan tahap keselamatan murid di sekolah berikutan kes kematian yang semakin kerap berlaku di premis berkenaan.
Persoalan itu dibangkitkan ketika mencelah Sesi Perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) di Dewan Rakyat, hari ini.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu mendedahkan kes baharu melibatkan kematian seorang murid berumur 10 tahun di sebuah sekolah rendah di Negeri Sembilan yang hanya disiasat di bawah Seksyen 503 (kesalahan menakutkan secara jenayah) sahaja.
Beliau pada masa sama bertanggungjawab terhadap kenyataan itu dan bersedia sekiranya dipanggil oleh pihak polis bagi memberikan keterangan.
“Kalau polis panggil, saya boleh pergi. Saya mahu siasatan (menyeluruh) dibuat terhadap murid ini. Maklumat saya dapat, mangsa ditemukan mati dalam keadaan tergantung dengan skaf pengakap tergantung di penyangkut baju.
“Guru menurunkan murid tersebut dan CPR (prosedur pertolongan cemas) dibuat tak berhasil. Kemudian (mangsa) dibawa ke klinik dan disahkan meninggal dunia. Hari ini, Menteri (Pendidikan), Timbalan Menteri tiada (dalam Dewan Rakyat), apa yang akan dibuat lagi (tindakan) oleh Menteri?
“Adakah hendak cakap ‘Jangan kacau sekolah kami? Jangan kacau murid kami? Anak, rakyat mati tuan-tuan. Murid mati jatuh dalam lubang tandas. Inikah kualiti pendidikan yang kita mahu dengan perbelanjaan paling besar diberikan oleh kerajaan kepada sektor pendidikan,” katanya.
Sebelum ini, aspek keselamatan di sekolah menjadi perbualan hangat dengan beberapa siri kes kematian termasuk melibatkan arwah Zara Qairina Mahathir di asrama sekolah di Sabah, kematian murid tahun empat di sebuah sekolah di Senawang termasuk insiden rogol melibatkan murid tingkatan lima di Melaka.










