KUALA LUMPUR: Pengarah tersohor, Suhaimi Lua Abdullah, berpandangan ketegangan serta konflik membabitkan tenaga produksi di set penggambaran tidak mendatangkan sebarang kebaikan justeru sewajarnya dielakkan.
Katanya, sebarang masalah di tempat kerja harus ditanggani secara profesional agar suasana bekerja menjadi lancar dan harmoni.
“Saya ini tak pernah mengamuk di set penggambaran sebab saya percaya persekitaran kerja akan jadi positif kalau orang selesa bekerja dengan kita.
“Tugas jadi mudah bila kita selesa bekerjasama dengan satu sama lain,” katanya ketika sesi memperkenalkan pelakon filem Manrobbuka baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pengarah drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu juga tidak gemar mendesak mana-mana pelakon memberi persembahan lakonan di luar kemampuan mereka.
“Kita hanya mendera pelakon jika meminta mereka mengulangi lakonan secara berlebihan. Pada saya, dalam satu-satu babak, memadai sampai tiga ‘take’ sahaja.
“Saya tak mahu memaksa pelakon, membuang tenaga dan masa semua orang.
“Saya mahu bekerja dalam persekitaran yang harmoni. Semua tenaga produksi kena rasa selesa bekerjasa sesama mereka, hubungan ibarat keluarga,” kongsinya.- UTUSAN










