Syura Badron dimasukkan ke HDU, alami jangkitan kuman dalam darah - Utusan Malaysia

Syura Badron dimasukkan ke HDU, alami jangkitan kuman dalam darah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi Syura Badron, 39, dimasukkan ke Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) sebuah hospital swasta akibat jangkitan kuman dalam darah yang dialaminya sejak petang semalam.

Menurut suaminya, Muhammad Farizat Ismail, Syura pada awalnya sekadar mengalami batuk dan selesema sebelum kesihatan merosot akibat demam berpanjangan sejak seminggu lalu.

Kata Farizat, meskipun kesihatan tidak membenarkan, isterinya bagaimanapun tetap mahu menghadiri festival makanan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Sepanjang empat hari di sana, kesihatan Syura merosot sehingga seluruh badannya menggigil.

“Dia ini degil, selalu beranggapan yang dia tahu tahap kesakitannya dan cuba bertahan.

“Tapi saya terus bawa dia ke klinik berhampiran apabila dia hilang keupayaan untuk bangun. Hasil ujian darahnya pula tidak normal dan dia perlu segera dirujuk ke hospital,” katanya.

Katanya, keadaan Syura bertambah lemah sepanjang perjalanan dari Port Dickson ke Kuala Lumpur sebelum dibawa ke bahagian kecemasan sebaik tiba di hospital.

“Hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mengesahkan berlaku jangkitan kuman dalam darah yang merebak ke buah pinggang.

“Doktor mengesahkan bukan influenza atau denggi, tetapi berlaku jangkitan bakteria. Kuman berpotensi merebak ke organ lain jika tiada rawatan segera, mujur kami segera bawa Syura ke hospital,” katanya.

Farizat dalam masa yang sama memaklumkan Syura kini dipantau rapi selepas suhu badan mencecah 40 darjah selsius, selain tekanan darah dan nadi yang tidak stabil.

“Syura terpaksa ditempatkan di HDU bagi pemantauan intensif. Malam tadi keadaan dia agak teruk, mungkin disebabkan tubuhnya sedang melawan antibiotik.

“Alhamdulillah, pagi tadi saya sempat bercakap dengannya melalui telefon. Suaranya kedengaran lemah, tapi masih boleh berkomunikasi,” katanya.

Berikutan itu, Muhammad Farizat memohon orang ramai mendoakan kesembuhan isterinya.

“Saya pernah melalui pengalaman dimasukkan ke hospital akibat melecur tahun lalu. Dari situ saya belajar bahawa doa orang ramai sangat mustajab.

“Saya mohon agar semua mendoakan Syura kembali sihat seperti sedia kala,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN