Sultan Nazrin seru kewangan Islam seimbangkan keuntungan, tanggungjawab moral - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin seru kewangan Islam seimbangkan keuntungan, tanggungjawab moral

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dalam Syarahan Diraja sempena Majlis Makan Malam Diraja Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2025 di Kuala Lumpur, malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, menyeru institusi kewangan Islam untuk mengimbangkan penciptaan keuntungan dengan integriti moral dan tanggungjawab sosial.

Baginda turut mengingatkan para pemimpin industri bahawa kemajuan sebenar bukan hanya diukur melalui kekayaan, tetapi melalui keupayaan mengangkat martabat masyarakat.

Baginda bertitah, keuntungan perlu dikejar dengan tujuan yang jelas, dipandu oleh hati nurani, serta berlandaskan nilai yang memberi manfaat kepada kebaikan bersama.

Sultan Nazrin menegaskan kewangan Islam yang diasaskan atas prinsip abadi seperti keadilan, ketelusan, akauntabiliti dan perkongsian risiko, perlu kekal dinamik, inklusif dan berpandangan jauh dalam menghadapi era perubahan geopolitik, sosial dan alam sekitar.

“Kepimpinan mesti berteraskan keberanian, kebijaksanaan dan kejelasan moral.
“Kita perlu mengejar keuntungan dengan tanggungjawab dan pertumbuhan dengan keadilan melalui sistem kewangan berasaskan nilai yang memperkasa masyarakat dan menyumbang kepada kesejahteraan bersama,” titah baginda dalam Syarahan Diraja sempena Majlis Makan Malam Diraja Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2025, malam ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II,Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Sultan Nazrin bertitah, kejayaan industri kewangan Islam tidak seharusnya diukur hanya melalui prestasi kewangannya, tetapi juga sumbangannya kepada manusia dan kelestarian alam.

Baginda turut menekankan kaitan erat antara aktiviti ekonomi dan kesejahteraan sosial, sambil menyatakan bahawa pertumbuhan dalam sektor kewangan Islam mesti diterjemahkan kepada kemajuan nyata untuk masyarakat, bukan hanya untuk pemilik modal.

“Kewangan Islam mempunyai kedudukan istimewa untuk merapatkan jurang antara peluang dan keperluan.

“Melalui pendekatan Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI), bank-bank Islam di Malaysia telah menyalurkan hampir RM62 bilion bagi pembiayaan sosial dan RM17 bilion untuk pembiayaan hijau, selain RM184 jutamelalui inisiatif berimpak sosial melibatkan zakat, sadaqah, iTEKAD dan wakaf,” katanya.

Mengenai inisiatif iTEKAD, baginda menyifatkannya sebagai contoh cemerlang bagaimana kewangan sosial Islam dapat memperkasa usahawan mikro dan memperkukuh daya tahan sosioekonomi.

“iTEKAD dirangka dengan teliti dan penuh tujuan memanfaatkan instrumen kewangan sosial Islam untuk memperkasa usahawan mikro dengan menyediakan latihan terstruktur, modal permulaan, dan akses kepada pembiayaan mikro.
“Sehingga Jun 2025, lebih 10,000 peserta telah menerima manfaat,” titah baginda.

Inisiatif tersebut telah membantu ramai rakyat Malaysia beralih daripada penerima bantuan kepada pemilik perniagaan kecil, menjana pendapatan, mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang semula kepada masyarakat melalui zakat serta instrumen kewangan sosial lain.

“Inilah kekuatan sebenar kewangan berasaskan niat yang tulus apabila niat baik diterjemahkan kepada tindakan, kemakmuran akan mengalir ke seluruh ekonomi,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menggesa para pembuat dasar, pemimpin perniagaan, dermawan dan inovator untuk menjalin kerjasama merentas sempadan dalam usaha memperkasa agenda kewangan Islam global yang berprinsip, inklusif dan berimpak tinggi.

“Apabila kita melihat ke hadapan, kita harus akui peranan penting industri kewangan dalam menangani cabaran dunia masa kini dari pembangunan infrastruktur dan ketahanan iklim, kepada isu penuaan populasi serta keperluan mendesak untuk inovasi yang inklusif,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN