KOTA BHARU: Peningkatan kes rogol bawah umur di negeri berpunca daripada tindakan suka sama suka antara pasangan yang mengundang kepada perlakuan tidak bermoral itu.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, perkara itu terbongkar selepas keluarga atau pihak hospital membuat laporan kepada polis selepas mengetahui kejadian tersebut.
Katanya, sebanyak 131 kes telah direkodkan sepanjang Januari hingga September lalu berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak 114 kes.
“Bagaimanapun mungkin ada yang tidak membuat laporan polis kerana keluarga malu selepas ia membabitkan kes suka sama suka,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, kebanyakan kes ini dikesan berlaku di rumah mereka sendiri.
Katanya, ada juga yang mengikut lelaki pergi ke rumah atau lelaki dijemput datang rumah perempuan.
“Selain itu, ada yang melakukan perbuatan terkutuk itu di hotel bajet. Saya mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak selain semua pihak perlu mengambil tanggungjawab bagi menangani jenayah rogol.
“Kita perlu mengambil tahu keadaan sekeliling, bukannya bersikap tidak mengambil peduli,” ujarnya.-UTUSAN