Suara Ara Johari, Tengku Ameera Asya pikat penerbit Indonesia

Suara Ara Johari, Tengku Ameera Asya pikat penerbit filem Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Dua penyanyi tanah air, Ara Johari dan Tengku Ameera Asya, menjadi pilihan penerbit filem muzikal Indonesia Siapa Dia, Faizal Lubis untuk menyanyikan runut bunyi filem tersebut.

Menurut Faizal yang juga komposer kepada kesemua 16 lagu dalam naskhah itu mengakui tertarik dengan keunikan vokal yang dimiliki kedua-dua penyanyi berkenaan.

Bercerita mengenai pemilihan Ara Johari, penyanyi itu mencuri perhatiannya selepas mendengar lagu Menjaga Jodoh Orang Lain. Faizal mahu memberikan penyanyi kelahiran Malaysia itu lagu baharu yang serasi dengan warna suaranya.

“Ara memiliki karakter vokal yang unik dan tersendiri. Saya yakin dia memerlukan sebuah lagu yang benar-benar sesuai dengan identitinya, maka saya ciptakan lagu Cinta Terhebat khas buatnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Tambah Faizal, proses rakaman bersama Ara juga berlangsung dengan sangat pantas.

“Selepas berbincang, keesokan harinya Ara terus berangkat ke Jakarta dan merakamkan lagu berkenaan di studio kami. Saya juga dimaklumkan beliau merupakan antara penyanyi popular di Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi pemilihan Tengku Ameera Asya, Faizal mendedahkan penyanyi muda yang juga kerabat diraja Pahang itu diperkenalkan oleh sahabatnya yang juga komposer, Ade Govinda.

“Kisah Ameera menarik kerana dalam filem ini terdapat satu adegan yang memerlukan suara seorang perempuan untuk meluahkan rasa cinta dalam diam. Lagu ini sebelum ini dinyanyikan Ari Lasso, tetapi saya rasa lebih sesuai jika dibawa dalam perspektif wanita.

“Selepas mendengar vokal Ameera beberapa kali, saya yakin dia mampu memberi nafas baharu kepada lagu tersebut. Ternyata, beliau berjaya membawa versi yang segar dan sejiwa dengan roh filem ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai cabaran dalam penerbitan Siapa Dia, Faizal berkata, proses pemilihan lagu untuk dimuatkan dalam filem tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

“Saya mencipta 35 buah lagu, namun hanya 16 dipilih untuk dimuatkan dalam filem ini. Proses menyesuaikan muzik dengan pelbagai era dalam jalan cerita filem ini sememangnya mencabar.

“Filem ini berlatarkan pelbagai zaman, jadi muzik juga perlu mengikut suasana era yang digambarkan. Kalau terlalu banyak lagu, boleh ‘botak’ kepala dibuatnya,” katanya berseloroh.

Lebih menarik, menurut Faizal, semua lagu dalam filem ini dinyanyikan sendiri oleh barisan pelakonnya yang menjalani latihan vokal selama dua hingga tiga bulan sebelum penggambaran bermula.

Filem muzikal Siapa Dia terbitan Fabis Entertainment mengetengahkan konsep gabungan sejarah, budaya, dan muzik merentasi pelbagai zaman serta memaparkan nyanyian secara langsung oleh pelakon utama.

Dibintangi barisan pelakon ternama seperti Nicholas Saputra, Amanda Rawles, Ariel Tatum, Happy Salma, Morgan Odey dan ramai lagi, Siapa Dia bakal menemui penonton Malaysia bermula 16 Oktober 2025. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN