IPOH: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah berhubung kematian pasangan suami isteri warga emas yang ditemukan di kediaman mereka di Desa Lang Indah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, bedah siasat mendapati mangsa lelaki meninggal dunia akibat penyakit saluran pernafasan kronik bersama jangkitan manakala isterinya akibat faktor usia serta komplikasi bekuan darah di paru-paru.
Berikutan itu katanya, polis membuka siasatan kes mati mengejut (SDR) melibatkan pasangan suami isteri itu.
“Menurut ahli keluarga, lelaki berusia 78 tahun itu tidak mempunyai sebarang penyakit serius namun isterinya yang juga berusia 78 tahun menghidap parkinson sejak lima tahun lalu.
“Pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menemui kesan pergelutan, pecah masuk atau unsur jenayah lain,” katanya di sini hari ini.
Semalam media melaporkan penemuan mayat suami isteri itu di mana mangsa lelaki ditemui di belakang pintu masuk rumah tanpa berpakaian manakala isterinya pula dalam bilik tidur di tingkat bawah rumah.
Kematian kedua-dua mangsa itu disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada pukul 9.45 pagi. – UTUSAN