KUALA LUMPUR: Cherry Malaysia melancarkan dua model terbaharu kenderaan hibrid plug-in elektrik (PHEV), iaitu TIGGO 7 PHEV dan TIGGO 8 PHEV, sekali gus memperkukuh barisan kenderaan tenaga baharu (NEV) syarikat itu di pasaran Malaysia.
Model TIGGO 7 PHEV ditawarkan pada harga bermula RM129,000, manakala TIGGO 8 PHEV pula bermula dari RM159,800.
Kedua-dua model berkenaan dibangunkan berasaskan platform teknologi Chery Super Hybrid yang canggih, menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha menjadikan teknologi tenaga baharu lebih mudah dicapai oleh pengguna tempatan.
Pelancaran ini juga sejajar dengan perkembangan pesat penggunaan kenderaan tenaga baharu di Malaysia, yang didorong oleh dasar kerajaan progresif, jaringan infrastruktur pengecasan yang semakin berkembang serta permintaan pengguna yang kian meningkat.
Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang, berkata, perjalanan Chery sejak menghasilkan kereta pertama kini membawa syarikat itu muncul sebagai antara pengeluar automotif global yang paling pesat berkembang.
“Setiap perjalanan bermula dengan satu langkah. Bagi Chery, langkah itu telah membawa kami jauh, daripada kereta pertama sehingga menjadi syarikat automotif yang mencatat jualan lebih 242,000 unit pada Ogos sahaja, termasuk lebih 71,000 unit kenderaan tenaga baharu. Ini petanda jelas hala tuju industri,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di sini, hari ini.
Tambah beliau, dari Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, Chery telah menjual lebih 1.7 juta unit kenderaan secara global, termasuk hampir 500,000 unit kenderaan tenaga baharu (NEV), menjadikan elektrifikasi bukan lagi sekadar masa depan tetapi realiti yang sedang berlaku.
“Kenderaan tenaga baharu kini bukan lagi tren niche, sebaliknya sedang menulis semula masa depan mobiliti global. Malah, tahun lalu lebih 60 juta unit NEV dijual di seluruh dunia, menggambarkan perubahan besar dalam industri,” tambahnya.
Majlis pelancaran tersebut turut dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Mengulas pasaran Malaysia, Lee berkata, negara ini turut mencatat pertumbuhan ketara, apabila jualan kenderaan tenaga baharu meningkat 13.4 peratus tahun ke tahun pada 2024, mewakili lima peratus daripada jumlah pendaftaran kenderaan penumpang.
“Sasaran kerajaan untuk mencapai 20 peratus jualan NEV menjelang 2030 dan meningkat kepada 80 peratus pada 2050 adalah langkah berani serta seiring dengan perkembangan global,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui ramai pengguna masih memiliki kenderaan petrol dan peralihan terus ke kenderaan elektrik sepenuhnya mungkin belum praktikal untuk semua.
“Inilah sebabnya PHEV sangat penting hari ini. Ia menjadi jambatan terbaik antara pemanduan petrol yang biasa kita kenali dengan masa depan elektrifikasi yang semakin hampir,” ujarnya.
Lee berkata, keupayaan PHEV keluaran Chery membolehkan perjalanan sehingga 1,200 kilometer dengan hanya satu tangki penuh petrol dan cas penuh bateri, sekali gus memberi ketenangan fikiran kepada pengguna.
“Dengan keupayaan ini, pemandu boleh memulakan perjalanan jauh merentasi Semenanjung Malaysia tanpa perlu risau tentang jarak perjalanan atau pengecasan,” katanya. – UTUSAN










