Literasi kewangan untuk semua, bukan golongan elit sahaja - Utusan Malaysia

Literasi kewangan untuk semua, bukan golongan elit sahaja

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Peluncuran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026-2030 dan Bulan Literasi Kewangan 2025 di Sasana Kijang, Bank Negara Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Literasi kewangan mesti diperkasa merentasi semua lapisan masyarakat, bukan hanya dinikmati golongan elit atau berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan ekonomi negara dalam kerangka Malaysia Madani tidak akan bermakna sekiranya manfaatnya hanya tertumpu kepada kelompok kecil.

Sebaliknya, beliau berkata, ia perlu dikongsi bersama rakyat di bandar, luar bandar serta golongan sederhana dan miskin.

“Celik kewangan ini bukan untuk segelintir, tetapi untuk semua. Kita mahu kefahaman dan pengetahuan kewangan merentas daerah, kaum dan wilayah, supaya setiap rakyat mampu membuat keputusan yang bijak dan melindungi diri daripada risiko,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 (NS2.0) dan Bulan Literasi Kewangan 2025 di Sasana Kijang di sini hari ini.

Anwar berkata, literasi kewangan yang lebih khusus adalah penting terutama dalam menghadapi penipuan kewangan yang kini merugikan berbilion ringgit di rantau ini.

“Walaupun ada yang berpendidikan tinggi, malah pernah menjadi pegawai kanan kerajaan, mereka masih boleh terpedaya sehingga kehilangan puluhan ribu ringgit. 

“Bagaimana ada bekas ketua pengarah atau orang berkelulusan tinggi boleh ditipu begitu mudah sehingga hilang RM80,000 atau RM100,000? Ada kecelikan umum, tetapi rabun dalam kecelikan khusus, termasuk kewangan,” ujarnya.

Beliau berkata, literasi kewangan juga berkait rapat dengan kecelikan lain seperti budaya, sejarah dan pemikiran kritis yang menjadi asas kepada perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.

“Celik kewangan bermakna celik ekonomi. Celik ekonomi bermakna celik negara, celik masyarakat dan celik realiti kehidupan. Tanpa kecelikan, kita mudah dangkal, cepat menghukum kerana kejahilan,” katanya.

Tambahnya, agenda ini perlu diperluas ke peringkat sekolah menengah agar generasi muda dididik awal, sekali gus melahirkan masyarakat lebih berdaya saing serta mampu mengurus kewangan dengan lebih berhemah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN