MELAKA: Pasangan suami isteri yang dipercayai dalang utama ‘Geng Abang Wan’ merekrut dua pelajar sekolah untuk melakukan kegiatan curi motosikal di sekitar negeri ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pasangan terbabit antara 12 individu berusia 13 hingga 46 tahun yang diberkas menerusi Op Pintu dan OP Lejang Khas 2025 dari 22 hingga 28 September lalu.
“Suami isteri itu dipercayai merekrut dua remaja lelaki masing-masing berusia 13 dan 15 tahun sebagai budak suruhan mereka untuk mencuri motosikal yang disasarkan.
“Tindakan tidak bertanggungjawab itu jelas mengeksploitasi pelajar sekolah demi kepentingan jenayah mereka,” katanya hari ini.
Dzulkhairi berkata, selain pasangan tersebut, tangkapan lain melibatkan ahli ‘Geng Ahtee’, ‘Geng Ahsoon Pekong’ serta dua individu yang bergerak sendiri.
Katanya, kumpulan berkenaan aktif mencuri kenderaan, memecah rumah serta tabung masjid dan surau.
“Hasil ujian air kencing mendapati sembilan daripada mereka positif methamphetamine, malah polis turut merampas pelbagai peralatan digunakan untuk memecah rumah dan kenderaan. Dengan penahanan ini, polis berjaya menyelesaikan 25 kes pecah rumah dan curi kenderaan yang dilaporkan di Melaka,” katanya.
Kemua suspek disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










