Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 dirangka dengan 3 teras utama - Utusan Malaysia

Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 dirangka dengan 3 teras utama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (dua dari kiri) dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Sri Abdul Rasheed Ghaffour (dua dari kanan) ketika sesi bergambar pada Majlis Peluncuran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026-2030 dan Bulan Literasi Kewangan 2025 di Sasana Kijang, Bank Negara Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia memperkukuhkan kesejahteraan kewangan rakyat dengan pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 (NS2.0) yang dirangka dengan visi yang lebih luas dan semangat yang lebih mantap. 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, strategi ini berteraskan tiga keutamaan yang saling melengkapi iaitu keterangkuman, pendigitalan dan pemantauan. 

Katanya, keterangkuman memastikan setiap segmen masyarakat, tanpa mengira umur, pendapatan atau lokasi, mendapat manfaat, manakala pendigitalan pula membuka ruang kepada pendidikan kewangan yang lebih mudah diakses, interaktif dan berkesan dari segi kos. 

“Sementara itu, pemantauan melalui indikator atau penunjuk prestasi yang jelas akan menjamin usaha semua pihak bergerak seiring dan hasilnya dapat diukur secara telus. 

“Dengan keseimbangan tiga teras ini, kita yakin strategi baharu ini mampu mencetuskan anjakan besar pada tahap literasi kewangan negara,” katanya pada Majlis Peluncuran NS2.0 dan Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2025 di Sasana Kijang, di sini, semalam.

Majlis tersebut telah diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Rasheed berkata, hasil Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019–2023 yang lalu, Indeks Literasi Kewangan Malaysia (MYFLIC) meningkat lebih 13 peratus dan tahap literasi negara berjaya melepasi purata antarabangsa dengan program literasi kewangan menjangkau jutaan rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengetahuan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada amalan dalam kehidupan seharian.

Jelasnya, literasi kewangan merupakan usaha seluruh negara dan kejayaan hanya akan dicapai jika kerajaan, pengawal selia, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pendidik, media dan masyarakat sama-sama berganding bahu.

Bagi memperkukuh penyelarasan, beliau berkata, Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) sedang menubuhkan Pejabat Koordinasi Kebangsaan yang akan mula beroperasi Januari 2026, berpusat di BNM dengan penyertaan Suruhanjaya Sekuriti, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Bak kata pepatah Melayu, ‘seikat bak sirih, serumpun bak serai’. Kekuatan hanya akan lahir apabila kita saling bermuafakat. 

“Dengan semangat kebersamaan ini, saya yakin Malaysia mampu memperkukuh daya tahan kewangan rakyat dan seterusnya muncul sebagai peneraju serantau, malah menjadi rujukan global, dalam agenda literasi kewangan yang progresif dan juga inklusif,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN