STAR, SAPP keluar GRS tanding solo

STAR, SAPP keluar GRS tanding solo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keanggotaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berakhir selepas ke­dua-duanya menyatakan keputusan untuk bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkara itu disuarakan Presiden kedua-dua parti berkenaan pada Mesyuarat Majlis Presiden GRS dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS semalam.

Katanya, mesyuarat itu mendengar hasrat Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kiti­ngan, dan Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee untuk bertanding sendiri pada pilihan raya berkenaan kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi.

“Dalam mesyuarat itu, Presi­den STAR dan Presiden SAPP menyatakan hasrat parti ma­sing-masing untuk bertanding menggunakan lambang parti sendiri pada PRN17.

“Mereka memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat ke­rana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi yang akan dimuktamadkan antara GRS dengan PH.

“Ini bermakna STAR dan SAPP berkemungkinan akan meletakkan calon di kawasan-kawasan DUN yang juga bakal ditandingi oleh calon-calon dari PH,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Masidi berkata, Hajiji kemudian mengingatkan semua parti komponen GRS perlu menghormati persetujuan kerjasama yang diumumkan bersama PH sebelum ini.

Katanya, Hajiji memberitahu bahawa GRS harus bergerak sebagai satu entiti dengan semua calon daripada gabungan itu akan menggunakan lambang sama, iaitu lambang GRS.

Setelah perbincangan secara terbuka dan ikhlas selama hampir dua jam, beliau berkata, mesyuarat memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk meletakkan calon menggunakan lambang parti masing-masing, dianggap keluar daripada GRS dan calon daripada parti terbabit tidak lagi mewakili GRS.

Katanya, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), bersama presiden parti-parti komponen lain membabitkan Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS), menghormati keputusan STAR serta SAPP untuk bertanding secara solo.

“Dengan keputusan dan tindakan itu, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS dengan sendirinya tamat.

“Presiden STAR serta Presi­den SAPP turut menyatakan mereka menghormati pendirian parti-parti komponen lain yang memilih untuk terus kekal bersama GRS dan meneruskan kerjasama strategik dengan PH dalam menghadapi PRN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN