SPRM tunggu keputusan AGC teruskan pertuduhan

SPRM tunggu keputusan AGC teruskan pertuduhan

ANWAR Ibrahim bersama Azam Baki pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 di Putrajaya.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) sama ada perlu meneruskan pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, keputusan pertuduhan adalah tertakluk kepada jabatan berkenaan.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya telah pun berjaya melaksanakan tindakan pemulihan aset melibatkan Ismail Sabri.

“Saya hanya menunggu daripada Peguam Negara sama ada kes itu perlu diteruskan untuk menuduh atau tidak.

“Itu sahaja terpulang kepada beliau (Peguam Negara) tetapi bagi pemulihan aset, kita (SPRM) sudah jalankan tugas dan aset berkenaan berjaya dipulihkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 di sini hari ini.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membuat keputusan melucutkan hak RM169 juta didakwa milik Ahli Parlimen Bera itu kepada kerajaan Malaysia.

Wang berkenaan melibatkan RM14,772,150; SG$6,132,350; AS$1,461,400 dan CHF3 juta (franc Swiss); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); £50,250 (Pound Sterling); NZ$44,600; AED34,750,000 (dirham Emiriah) dan AUD352,850.

Hakim, Suzana Hussin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan kerana tiada pihak ketiga yang berkepentingan hadir bagi mencabar prosiding melucutkan hak harta terbabit.

Pada 8 September lalu, mahkamah diberitahu, Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus yang dinamakan sebagai responden, tidak berhasrat mencabar permohonan pendakwaan untuk melucutkan hak wang tunai yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Susulan itu, mahkamah membenarkan wang berkenaan dilucut hak mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM.

Mahkamah turut mengeluarkan warta pihak ketiga kepada mana-mana orang yang mempunyai kepentingan ke atas wang itu.

 Pada sidang media Mac lalu, SPRM mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan wang tunai ratusan juta ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×