SPRM jangan gentar banteras rasuah

SPRM jangan gentar banteras rasuah, sekalipun tokoh itu banyak berjasa – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak gentar untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana tokoh atau individu berpengaruh di negara ini jika disyaki terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri berkata, biarpun berdepan kritikan pihak tertentu kononnya pemimpin berkenaan mempunyai jasa besar kepada negara, namun tindakan menangani jenayah itu tidak boleh dikompromi.

“Saya pun aneh, SPRM ini ada keberanian mengambil tindakan, tetapi disergah, dimarahi kerana (ambil tindakan) kepada orang itu (atas alasan) tak fikir ke orang itu ada berjasa, orang itu tak begitu sihat, pelbagai alasan aneh.

“Sepatutnya berterima kasih kepada SPRM, bagi semangat dan dorongan (kerana berani ambil tindakan), (kritikan ini) bukan di luar sahaja, malah di Parlimen sendiri.

“Saya bingung juga fikirkan perkara ini kerana seharusnya kita dukung, (tetapi mempertikaikan tangkapan itu) dan kata orang ini dia berjasa, semua orang ada jasa, tukang cuci ini pun ada jasa, yang paling korup pun ada jasa.

“Kalau saya lihat dalam sejarah kalau baca salah satu kupasan salah seorang alim, sufi dia terangkan tentang Firaun. Firaun itu pun ada jasa dia bagi makan orang ribu-ribu satu hari dia bagi gaji pekerja dia ribu-ribu, jasa lah itu tapi jasa apa?” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Ulang Tahun SPRM Ke-58 dan melancarkan Keep Malaysia Clean, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar yakin dan percaya SPRM akan menjadikan Malaysia ini sebagai contoh badan penguat kuasa atau badan pemantau demi memastikan Malaysia ‘bersih’ dengan jenayah rasuah.

Katanya, beliau tahu tidak mudah untuk mengambil tindakan apatah lagi melibatkan rasuah berbilion ringgit kerana risiko amat besar.

“Saya tahu tidak mudah (untuk ambil tindakan ini), SPRM kena jaga keselamatan kerana musuh-musuh juga bukan kecil-kecil orangnya, kalau saya tangkap orang rasuah di pejabat daerah RM1,000 ke RM5,000 itu selamat.

“Tetapi kalau saudara geledah orang yang ratusan juta ringgit dan bilion ringgit, risikonya besar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN