SPRM bentang cadangan tambah baik tatakelola PDT Temerloh - Utusan Malaysia

SPRM bentang cadangan tambah baik tatakelola PDT Temerloh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Sebanyak empat cadangan penambahbaikan tatakelola  dibentangkan Unit Penyiasatan Tatakelola (UPT) SPRM Pahang kepada Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) Temerloh berhubung Proses Pemilihan Sebutharga Di Unit Pentadbiran dan Kewangan, Bahagian Pengurusan Daerah.

Antara cadangan itu ialah PDT disyorkan untuk membuat permohonan AP96(a) (Mengeluarkan Wang Awam untuk diagihkan) dan mendapat kelulusan dengan kadar segera bagi membolehkan jabatan melaksanakan program yang memerlukan penggunaan wang tunai.

Cadangan kedua, PDT membuat permohonan peruntukan untuk setiap program dilaksanakan kepada Pejabat Kewangan Dan Perbendaharaan Negeri Pahang bagi memastikan kos pelaksanaan program tidak dirancang tidak menjejaskan peruntukan bagi program telah dirancang.

Manakala cadangan lain ialah membuat permohonan penambahan pegawai atau kakitangan di unit kewangan ke pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan sempurna serta PDT disyorkan agar mendaftar lebih ramai pembekal yang menerima perolehan secara Pesanan Tempatan (LO).

Kesemua syor itu dibentangkan oleh Ketua UPT, SPRM Pahang, Mohd. Hasbullah Mohd. Hassim di Bilik Gerakan, PDT Temerloh, Pahang di sini, kelmarin.

Cadangan penambahbaikan itu adalah berdasarkan kertas siasatan yang diterima SPRM Pahang pada 2024 bahawa terdapat kelemahan dalam sistem, amalan dan tatacara kewangan di Unit Pentadbiran dan Kewangan, Bahagian Pengurusan Daerah, PDT Temerloh kerana kurang mematuhi sepertimana Pekeliling Perbendaharaan dalam sebutharga dan perolehan. 

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd. Shukor Mahmud berkata, PDT Temerloh menyambut baik kerjasama dan syor cadangan yang dibentangkan oleh SPRM.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli turut bersetuju melaksanakan semua empat cadangan penambahbaikan yang  dilihat mampu membuat perubahan dalam menjaga tahap pengurusan tatakelola, selain dapat menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah dalam pengurusan perolehan projek pada masa akan datang.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN