KUANTAN: Taktik licik sindiket yang menjadikan lori bertulis Lalamove sebagai kenderaan penghantaran daun ketum yang disorok di dalam timbunan jerami, terbongkar apabila polis menahan lapan lelaki dalam satu serbuan di Jalan Gambang Felda Lepar Hilir 1, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, serbuan kira-kira jam 2.40 petang itu dilakukan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu pejabat Polis Daerah Kuantan dengan bantuan Balai Polis Gambang.
“Polis menahan sebuah lori jenis Foton Aumark putih bertulis Lalamove yang digunakan untuk membawa daun ketum yang disorok kemas di dalam jerami bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan 23 balutan plastik lutsinar berisi daun ketum seberat 509.7 kilogram bersama beberapa peralatan memproses termasuk dua dapur gas, dua periuk, satu tong gas dan penimbang.
Menurut beliau, seramai enam suspek ditahan di dalam lori tersebut manakala dua lagi diberkas di garaj hadapan rumah berhampiran.
“Nilai keseluruhan rampasan daun ketum dianggarkan RM20,400,namun boleh mencecah RM52,500 selepas diproses dan jumlah itu mampu digunakan oleh kira-kira 3,500 individu.
“Siasatan awal mendapati dua suspek mengaku menerima upah RM1,200 bagi setiap penghantaran dan menggunakan lori sewa bertulis Lalamove sebanyak empat kali sejak sindiket ini aktif sekitar Julai lalu,” katanya. – UTUSAN










