SMK Tawau cemerlang SPM 2024

SMK Tawau cemerlang SPM 2024

NIZAM Abu Bakar Titingan menyerahkan sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang SPM 2024. – utusan/BESSE AISYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau terus membuktikan keunggulan dalam bidang pendidikan apabila mencatatkan kejayaan membanggakan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, dengan pencapaian kelulusan 100 peratus dengan gred purata sekolah 3.5.

Seramai 360 orang pelajar berjaya lulus dalam semua mata pelajaran sekali gus layak mendapat sijil penuh SPM. Kejayaan ini menjadikan SMK Tawau sebagai antara sekolah menengah di Sabah yang konsisten dalam mencipta pencapaian cemerlang setiap tahun.

Majlis Graduasi Tingkatan 5 SMK Tawau bagi tahun 2025 yang berlangsung di Dewan SJKC Kung Ming, Tawau disempurnakan oleh bekas Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Dalam ucapan perasmiannya, Nizam merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh warga SMK Tawau, termasuk pengetua, barisan guru, pelajar dan ibu bapa yang telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap kecemerlangan pendidikan.

“Saya bersyukur dan berbangga kerana cabaran yang saya lontarkan kepada pelajar-pelajar SPM tahun 2024 agar semua layak mendapat sijil telah berjaya dicapai. Ini bukan kejayaan biasa, tetapi hasil usaha kolektif seluruh warga sekolah,” katanya.

Beliau turut memuji usaha sekolah yang bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek akademik, tetapi juga pembangunan sahsiah dan kokurikulum, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan modal insan holistik dan berdaya saing.

“Kita mahu melihat generasi pelajar bukan hanya cemerlang dalam pelajaran, tetapi juga mampu berfikir secara kritis, memiliki kemahiran insaniah, dan sedia menyumbang kepada masa depan negara,” tambah beliau.

Nizam menyatakan keyakinan bahawa sasaran gred purata sebanyak 3.7 mampu dicapai oleh calon SPM tahun 2025 oleh sekolah berkenaan mampu dicapai dengan komitmen berterusan semua pihak.

“Insya-Allah, dengan kerjasama antara guru, pelajar dan ibu bapa, saya yakin SMK Tawau akan mencipta kecemerlangan sekali lagi pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN