SK Putrajaya Presint 11(1) menang Sekolah Terbaik Dunia

SK Putrajaya Presint 11(1) menang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia

FADHLINA Sidek (duduk tengah) bersama para guru dan pelajar SK Putrajaya Presint 11 (1) selepas Majlis Pengumuman Anugerah Sekolah Terbaik Dunia di PICC) di Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) melakar sejarah apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, sekali gus menobatkan Malaysia di pentas pendidikan antarabangsa.

Sekolah berkenaan diiktiraf menerusi kategori ‘Menyokong Kehidupan Sihat’ hasil inisiatif inovatifnya iaitu projek HELPIE, sebuah aplikasi mudah alih yang dibangunkan pada 2023 untuk meningkatkan kesedaran serta sokongan terhadap kesihatan mental dalam kalangan murid.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Yayasan Hasanah menganjurkan perhimpunan khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Ia bagi menyaksikan secara langsung detik bersejarah pe­ngumuman pemenang dari seluruh dunia selepas sekolah ini berjaya disenaraikan 10 finalis bagi pengiktirafan berprestij itu.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pengiktirafan ini disifatkan sebagai bukti sekolah di Malaysia bukan sahaja mampu mengubah kehidupan pelajar di peringkat tempatan, malah menjadi inspirasi kepada perubahan global dalam bidang pendidikan.

“Kita menunjukkan bahawa sekolah kita boleh menghasilkan sesuatu yang sangat bermanfaat bukan sahaja untuk anak murid, tetapi mendapat pengiktirafan dunia.

“Peranan guru-guru juga menjadi pembimbing yang konsisten daripada awal, memastikan bahawa potensi anak-anak dan aplikasi yang dibangunkan itu adalah sangat menakjubkan.

“HELPIE bertujuan mena­ngani isu kesihatan mental yang bagi saya ketika ini sangat kritikal untuk ditangani bersama dan bagaimana dapat membantu keseluruhan ekosistem sekolah,” katanya di sini semalam.

Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang diasaskan oleh T4 Education adalah pengiktirafan tertinggi dalam bidang pendidikan, meraikan sekolah-sekolah yang berjaya membawa impak positif kepada masyarakat.

Sejak diperkenalkan pada 2022, ribuan sekolah dari seluruh dunia menyertainya, namun hanya 50 sekolah dipilih sebagai finalis dan 10 mara ke peringkat akhir bagi edisi 2025.

Guru pembimbing inovasi sekolah berkenaan, Mohd. Saharudin Setapa berkata, lebih 1,000 murid mendapat manfaat daripada gabungan aplikasi itu dengan kempen rakan sebaya di bilik darjah.

“Kita dapat lihat kesan positif daripada kalangan murid apabila mereka lebih yakin dan berani ketika bercerita masalah sekali gus cuba menyelesaikannya untuk mengurangkan kadar kesihatan mental.

“Ini satu pencapaian membanggakan bagi kumpulan kami, murid-murid membantu saya bermula 2020 bersama untuk sampai ke tahap paling tinggi. Malah, pada 2024, projek ini pernah meraih Anugerah Sekolah Paling Sihat AIA Peringkat Serantau di Bali, Indonesia,” katanya.

Sementara itu, ketua projek HELPIE, Muhammad Muhriz Marzuki berkata, idea membangunkan projek aplikasi berkenaan, bertujuan membantu kawan-kawan mengawal tekanan masing-masing kerana banyak tugasan perlu disiapkan di sekolah.

“Aplikasi ini mempunyai pelbagai fungsi seperti permainan dan bahan-bahan bacaan diterjemah dalam bentuk digital supaya dapat menarik minat pelajar. Kami belajar buat coding untuk cipta aplikasi ini dalam tempoh tiga bulan.

“Kami gembira apabila rata-rata kawan-kawan yang menggunakan HELPIE mengakui gembira dan dapat mengurangkan tekanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN