Sistem Sumud Nusantara Flotilla Tracker diikuti 3.4 juta pengguna malam tadi

Sistem Sumud Nusantara Flotilla Tracker diikuti 3.4 juta pengguna malam tadi

PUSAT Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Misi konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) meraih sambutan luar biasa rakyat Malaysia apabila laman web sistem penjejaknya, diikuti 3.4 juta pengguna malam tadi.

Ketua Pengarah, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr. Sani Araby Abdul Halim berkata, laman web penjejak (tracker) berkenaan ialah Sumud Nusantara Flotilla Tracker – Real-time Vessel Tracking https://magic.mapim.dev/sumudnusantara.

Katanya, ia satu lonjakan trafik mendadak berbanding purata harian sekitar 30,000 pengguna sebelum ini.

“Peningkatan mendadak itu membuktikan rakyat Malaysia sentiasa mengikuti rapat perkembangan misi kemanusiaan itu dan menjadikannya satu gerakan nasional yang menyatukan seluruh lapisan masyarakat.

“Ini menunjukkan rakyat Malaysia tidak berdiam diri. Di peringkat masjid, universiti, media mahupun kerajaan, semua memainkan peranan. Dalam tempoh hampir 31 hari ini, kita sudah zahirkan solidariti nasional terhadap penderitaan rakyat Gaza,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, kejayaan mengangkat kesedaran umum mengenai isu genosid dan kebuluran di Gaza itu tidak akan tercapai tanpa sokongan pelbagai pihak termasuk influencer, media, Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang berperanan menangkis naratif propaganda.

Jelasnya lagi, peranan kerajaan turut terserlah apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mendukung usaha diplomatik dan kemanusiaan ini.

“Sekarang adalah masa untuk kita bersatu hati, memperbanyakkan doa Qunut Nazilah dan melaksanakan solat hajat sama ada di masjid mahupun di rumah. Peranan rakyat ialah membina naratif yang positif dan berterusan,” katanya.

Jelasnya lagi, misi GSF ini memberi tumpuan kepada tiga objektif utama iaitu mendesak dihentikan perang, menamatkan krisis kebuluran di Gaza, dan membuka koridor kemanusiaan di Rafah, Mesir bagi membolehkan bantuan disalurkan secara menyeluruh.

“Alhamdulillah, hasil misi ini kita dapat melihat perubahan geopolitik dunia yang jelas. Lebih 45 negara kini berani menyatakan pendirian dan mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat.

“Saya juga menyeru agar objektif utama misi ini terus dipegang dan tidak dipesongkan oleh sentimen sempit. Kita perlu kekal fokus. Dunia kini sudah bangkit. Tugas kita ialah memastikan suara ini sampai dan memberi tekanan kepada kuasa besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN