PETALING JAYA: Selepas dua tahun diserang tentera Zionis yang melepaskan 200,000 tan bahan letupan dan membunuh lebih 76,000 penduduk Gaza, ada sinar kedamaian apabila Hamas dan Israel setuju melaksana gencatan senjata.
Semalam, Hamas mengumumkan persetujuan dengan fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sambil menghargai usaha Turkiye, Qatar dan Mesir dalam menjayakan rundingan itu.
Hamas mengumumkan perjanjian dicapai merangkumi penghentian peperangan di Gaza, pengunduran pasukan penceroboh, kemasukan bantuan kemanusiaan serta pertukaran tahanan.
Di Gaza, Israel dan Hamas mencapai perjanjian gencatan senjata bagi membebaskan baki tebusan yang masih hidup, langkah besar ke arah menamatkan perang yang mencetuskan krisis kemanusiaan
di wilayah terkepung itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan dalam rundingan itu membuka ruang penting untuk menamatkan keganasan dan menyelamatkan nyawa orang tidak berdosa.
“Saya menyambut baik laporan mengenai kemajuan rundingan gencatan senjata di Gaza. Perkembangan ini memberikan sinar harapan selepas berbulan-bulan penderitaan dan kemusnahan yang tidak tertanggung.
“Setiap usaha untuk menamatkan keganasan dan melindungi nyawa orang tidak bersalah mesti dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan keutamaan,” katanya di akaun media sosial miliknya.
Anwar menegaskan, Malaysia akan terus bersama rakyat Palestin dalam perjuangan menuntut keadilan, maruah dan kenegaraan.
Beliau turut menyeru semua pihak berkepentingan agar merebut peluang ini demi mencapai keamanan menyeluruh dan berkekalan.
Hamas mengumumkan bahawa satu perjanjian telah dicapai yang memperuntukkan penghentian peperangan di Gaza, pengunduran pasukan penceroboh, kemasukan bantuan kemanusiaan serta pertukaran tahanan.
Ribuan penduduk di seluruh Semenanjung Gaza membanjiri jalan-jalan meraikan pengumuman tersebut dengan rakaman tular di media tempatan menunjukkan penduduk bersorak dan mengibarkan bendera Palestin di jalan-jalan utama Gaza City, Khan Younis, Deir al-Balah dan beberapa kawasan lain sebaik pengumuman dibuat.
Wartawan tempatan turut dilihat memandu di sekitar kawasan bagi memaklumkan penduduk tentang berita gembira itu.
Suasana penuh harapan dan kelegaan dilaporkan turut menyelubungi kawasan Al-Mawasi di selatan Gaza menjelang pengumuman rasmi, dengan laungan ‘Allahu Akbar’ kedengaran dan sebahagian penduduk melepaskan tembakan ke udara sebagai tanda kegembiraan.
“Kami mengikuti setiap perkembangan berita mengenai rundingan dan gencatan senjata ini dengan penuh perhatian,” kata Mohammed Zamlot, 50, yang terpaksa meninggalkan rumahnya di utara Gaza.
Gerakan Hamas, yang menye rahkan senarai tahanan Palestin kepada pihak perantara, menyifatkan perjanjian itu sebagai pencapaian nasional sambil menegaskan Israel gagal mencapai matlamatnya melalui pembunuhan beramai-ramai dan kelaparan.
Menteri Kehakiman Israel, Yariv Levin, mengakui perjanjian itu melibatkan ‘pengorbanan yang menyakitkan’, namun berjanji akan berusaha menghalang Hamas daripada mendapatkan semula senjata.
Perjanjian itu, yang susulan kepada pelan damai 20 perkara untuk Gaza yang diumumkan Trump bulan lalu.
Di bawah perjanjian berkenaan, bantuan kemanusiaan akan mula disalurkan secara besar-besaran ke Gaza dan tentera Israel dalam kenyataannya memaklumkan akan bersiap sedia untuk menarik keluar pasukannya dari wilayah itu sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian tersebut.
Hamas memaklumkan akan menukar 20 tebusan hidup serentak dengan hampir 2,000 tahanan Palestin dalam fasa pertama perjanjian, dengan pertukaran itu dijangka berlaku dalam tempoh 72 jam selepas pelaksanaannya.
Pegawai Hamas bagaimanapun menegaskan usaha mengeluarkan mayat tebusan yang terkorban sekitar 28 orang akan mengambil masa lebih lama berikutan keadaan runtuhan di Gaza.
Dalam fasa seterusnya, pelan Trump turut menyeru pelucutan senjata Hamas dan menempatkan Gaza di bawah pentadbiran peralihan yang diketuai sendiri oleh beliau sendiri, walaupun perkara ini masih belum dibincangkan.- UTUSAN










