Simposium Muzik Ipoh 2025: Mengintai potensi muzik nasyid Malaysia - Utusan Malaysia

Simposium Muzik Ipoh 2025: Mengintai potensi muzik nasyid Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NASYID tidak hanya tentang Raihan atau kumpulan penyanyi yang terserpih daripada Putera-putera Al-Arqam dan NadaMurni. Genre ini melalui proses panjang yang asalnya lahir kerana kasih sayang, pujian dan selawat buat Nabi Muhammad sebelum bercambah di Malaysia pada era 80-an dan mencapai zaman emasnya di zaman 90-an.

Daripada nyanyian acapella, ia kemudian beradaptasi dengan perubahan penulisan lirik, gaya penyampaian hinggalah acuan instrumental sesuai kecanggihan zaman. Asasnya masih sama, membawa pendengar mengingati Allah serta mempromosikan nilai-nilai moral.

People of Remarkable Talents (PORT) Ipoh selaku penganjur sekali lagi meneruskan jihad memandaikan masyarakat menerusi Simposium Muzik Ipoh (IMS). Penganjuran edisi ketujuh sama rencam dengan tahun-tahun sudah, kali ini mengetengahkan tema Nasyid: Dari Tradisional ke Kontemporari.

Dalam membincangkan nasyid yang mempunyai sentuhan bunyi-bunyian padang pasir, elemen ini kemudian dicerap ke dalam genre muzik berbeza. Oleh itu, ketika membincangkan nasyid, secara tidak langsung akan tetap mengheret perkara seputar instrumental, latar lirik serta lagu religi yang sudah pun muncul di negara ini sejak 1954 menerusi Tiang Ugama nyanyian Zaharah Agus.

Instrumental sebagai nadi, potensi terapi dalam muzik

Walaupun tumpuan khalayak banyak terfokus kepada penyanyi, beberapa kajian pembentangan terasa menggoda termasuklah ketika Nadia Widyawanti mengetengahkan makalah tentang kecerdikan pemuzik duo, Mohram yang berjaya menembus batas muzik global dengan gabungan rebana dan seruling.

Mohram merupakan kolaborasi pemuzik Muhardiman Ismail dan Abd Ramli Ab Hamid telah memberikan sentuhan baharu menerusi integrasi antara elemen nasyid dan muzik tradisional Melayu.

“Mohram menciptakan muzik kontemporari dengan identiti nusantara. Mereka berdua tidak boleh membaca notasi muzik, tapi hanya bermain satu notasi sahaja sudah boleh membuatkan orang menangis.

”Kebolehan ini memerlukan spiritual tingkat tinggi. Kerana muzik itu lahir daripada perasaannya, sukar untuk mereka mengajarkan itu kepada orang lain. Perkara ini tiada templat.

“Orang boleh meniru Mohram tapi jiwa dan rasa yang diberikan tidak sama seperti yang dilakukan mereka,” kata Nadia ketika membentangkan makalah Jejak Seni Mohram dalam Evolusi Muzik Nasyid dan Ketuhanan.

Menurut Nadia, hampir kesemua penyanyi nasyid ternama di Malaysia pernah bekerjasama dengan Mohram termasuklah penyanyi antarabangsa Sami Yusuf. Malah, Mohram pernah diiktiraf sebagai World Championship of Performing Arts di Hollywood.

Dalam pada itu, menerusi kajian berbeza, Nazimin Nazeri tidak menafikan elemen nasyid jika diintegrasikan dengan muzik ambien boleh menghasilkan persekitaran yang terapeutik. Kelebihan ini boleh diguna pakai dalam kajian rawatan terapi dan kaunseling.

“Nasyid boleh berperanan sebagai bunyi latar yang membantu menenangkan fikiran, mengurangkan keresahan, dan menyokong pengawalan emosi.

”Oleh itu, nasyid boleh ditakrifkan semula bukan sahaja sebagai muzik keagamaan, tetapi bentuk bunyi ambien terapeutik.

“Pendekatan ini menunjukkan ada potensi peranan nasyid dalam ruang klinikal, kaunseling, dan kerohanian menerusi landskap bunyi,” katanya.

Nazimin ditemui ketika membentangkan makalah Nasyid as Ambient Sound for Therapeutic and Spiritual Contexts, baru-baru ini.

Selain Al Mizan, Al Jawaher adalah kumpulan nasyid yang sangat berpengaruh di era awal 80-an. Lagu-lagu Al Jawaher banyak dipengaruhi penulisan lirik yang diambil daripada pelbagai tema dan gaya kepengarangan. Menerusi lima album yang dihasilkan, terdapat 11 orang yang pernah menyumbang lirik untuk kumpulan itu.

Bagaimanapun, menurut tinjauan Mohd Rosli Ibrahim menerusi makalah Kepengarangan Lirik Nasyid Pop Al Jawaher, M.Nasir dianggap sosok yang balik berpengaruh dan banyak terlibat secara konsisten dalam pembikinan album Al Jawaher kecuali Alam Insan 1989. Antara lagu popular yang dihasilkan M.Nasir untuk kumpulan itu ialah Kembara Di Tanah Gersang, Perjalanan dan Perjalanan II.

“Perjalanan kerohanian sering menjadi tema lagu kumpulan ini namun ia ditulis bedasarkan pengalaman peribadi penulisnya baik M. Nasir (Renongkanlah), S.Amin Shahab (Warna Alam), Siso dan Ramli Sarip (Restukanlah).

“Gaya penulisan lirik pula ada pelbagai corak kepengarangan namun banyak menggunakan pendekatan alam, refleksi hidup dan juga kearifan lokal iaitu mengambil daripada peribahasa dan bidalan,” kata Rosli Ibrahim.

Selain itu, Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini juga memberikan sumbangan signifikan apabila menyanyikan lebih 66 buah lagu religi serta menulis lebih 15 buah lirik.

Ketika penyanyi sezamannya tidak berpeluang merakan lagu dan album religi sepanjang kerjaya mereka, Sharifah Aini menghasilkan satu album lagu religi penuh Yayadan 1998 diikuti Bukan Cinta biasa – Memori Hit Dunia Akhirat sebelum meninggal dunia pada 2014.

IMS merupakan acara tahunan anjuran agensi kebudayaan Ipoh, PORT sebagai platform membincang wacana ilmiah pelbagai tema mengenai muzik sejak 2019.

Tahun ini, selain pembentangan makalah, IMS turut menampikan Konsert Simposium Muzik Ipoh dengan menampilkan artis nasyid seperti Raihan, Hijjaz, UNIC, Lah Ahmad, Pot Amir, Lah Ahmad dan Zizi kirana.

Terdahulu, IMS telah berlangsung selama tiga hari bermula 24 Oktober lalu di Dewan Bandaran Ipoh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN