Sidang ASEAN catat detik bersejarah

Sidang ASEAN catat detik bersejarah

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pemimpin-pemimpin negara ASEAN serta pemimpin rakan dialog pada Majlis Perasmian Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi serantau, transformasi digital, peralihan tenaga bersih serta ketahanan rantaian bekalan.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, sidang kemuncak hari ini meliputi Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea ke-26; Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three ke-28; Sidang Kemuncak Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) ke-5; Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20; dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-15.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan beberapa pertemuan dengan rakan pimpinan lain dan menutup hari kedua dengan Majlis Makan Malam Gala ASEAN bersama para pemimpin ASEAN dan rakan dialog. 

“Insya-Allah, dengan momentum yang telah dibina, Malaysia akan terus menggalas amanah kepimpinan serantau dengan tekad dan keyakinan, memperkukuh perpaduan ASEAN serta memacu kerjasama yang membawa manfaat kepada seluruh rantau,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Tunku Nashrul, hari pertama sidang kemuncak berjalan lancar dan mencatat detik bersejarah bagi Malaysia dan ASEAN dengan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai Negara Anggota ASEAN ke-11. 

“Penyertaan rasmi Timor-Leste bukan sekadar simbol diplomasi, tetapi hasil keteguhan Malaysia yang sejak sekian lama menyokong negara tersebut melalui latihan, bantuan teknikal dan pengukuhan kapasiti,” katanya.

Diplomasi keamanan turut mencatat sejarah apabila Perjanjian Perdamaian Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja berjaya ditandatangani semalam di hadapan Perdana Menteri dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. 

Katanya, perjanjian itu menandakan kesediaan kedua-dua negara menghentikan pertikaian, membebaskan tawanan, serta membenarkan pemerhati ASEAN, termasuk Malaysia, menilai pelaksanaan damai di lapangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN