BUKAN sekali tetapi sudah berkali-kali Poklip mendengar keluh kesah segelintir pemain industri perfileman yang meluahkan tentang betapa ‘besar’ jurang dan kepayahan mereka untuk mendapatkan dana daripada agensi terlibat.
Poklip juga pernah mendengar beberapa dakwaan yang mempersoalkan ketelusan, amanah dan keadilan oleh agensi yang bertanggung mengatur, mengendali serta mengagihkan dana berkaitan perfileman.
Cuma kalau sudah makan bertahun isu yang sama, tidakkah ada kelompongan terutama dari pihak yang menabur dakwaan? Takkan tidak ada satu langkah drastik khususnya yang pihak yang berdepan dakwaan.
Pelik tetapi itulah kenyataan. Apabila satu lagi dana diumumkan sempena ASEAN Film and TV Summit baru-baru ini, sekali lagi ramai pihak mula berkokok. Adakah ikan bilis seperti mereka ada kelayakkan?
Dakwa mereka, sukar sekali produksi kecil dan baharu seperti mereka menembus ‘tembok’ yang kukuh dijaga oleh barisan jerung besar. Bagi mereka, tak perlu susah payah, bukan terpilih pun.
Namun jika sudah lama isu ini bertebaran, pastinya agensi terlibat sudah mempunyai struktur yang lebih dinamik dan holistik terutama untuk memastikan ketelusan serta keadilan dapat terlaksana.
Malah, dana yang berkaitan dengan pembentangan projek melibatkan produksi luar negara juga itu semestinya tidak akan terbabit dengan sebarang isu berkaitan ketelusan. Ini kan sesi pembentangan.
Poklip tidak rasa ada isu pilih kasih, siapa jerung dan ikan bilis terutama melibatkan beratus deligasi serta rumah produksi dari 10 negara. Ini peluang yang sangat besar dan dinanti-nantikan.
Malah Poklip juga yakin, pihak bertanggungjawab sudah mengatur sebaik mungkin peluang untuk setiap produksi tempatan untuk bersaing sesama sendiri dan adil demi meraih peluang bekerjasama dengan produksi luar negara.
Poklip bukan apa, kadang-kadang bila kita fikir logik dan mengikut mata sebagai penonton, selalunya yang ‘berpekik’, ‘melolong’ soal ketelusan ini adakala menghasilkan naskhah yang kurang ‘enak’ ditonton.
Maka, asalan yang mudah mungkin kekurangan dana. Poklip tidak pukul rata tetapi usah menuding jari menyalahkan pihak lain atas ‘kekurangan’ naskhah yang dipersembahkan. Bukan kita tidak boleh rasional kan.
Sebelum memulakan projek filem, pastinya pihak produksi sudah menyenaraikan kos mengikut bajet yang ada, jadi hasilnya pasti selari. Bukan tidak ada filem bagus dengan bajet rendah kan? Tetap berjaya.
Dalam pada masa sama, Poklip berharap agar sesi pembentangan filem dan TV itu akan membuahkan peluang serta hasil yang baik. Kita mempunyai kepakaran dan bakat tempatan yang tidak wajar ‘disisihkan’.
Poklip tidak menolak, mungkin benar wujud ceritera si jerung dan si bilis dalam gelanggang industri perfileman kita namun sewajar serta seharusnya pihak bertanggungjawab tidak terkait dengan isu tersebut.
Jagalah amanah dan kepercayaan rakyat sebaiknya. Jangan gelap mata dan hanya melihat sesuatu dari sudut kepentingan peribadi. Ini Poklip cakap umum ya. Jangan terasa pedas jika tidak tergigit cilinya.










