PUTRAJAYA: Kalendar Akademik Tahun 2026 bagi sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan akan bermula pada 11 Januari 2026.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tarikh tersebut adalah bagi negeri-negeri dalam Kumpulan A, manakala 12 Januari adalah bagi negeri Kumpulan B.
Katanya, sesi akademik tahun hadapan akan berakhir pada 31 Disember 2026.
“Kejayaan mengembalikan semula sesi persekolahan kepada bulan Januari dilakukan secara berperingkat dan tertib serta tanpa menganggu pengoperasian institusi pendidikan.
“Ia adalah hasil perancangan rapi dan komitmen tidak berbelah bahagi warga pendidikan di semua peringkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fadhlina, usaha ini menyerlahkan tekad KPM untuk memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
Kalendar Akademik Tahun 2026 boleh dimuat turun daripada portal KPM melalui pautan https://www.moe.gov.my/surat-siaran-kpm-bil-3-tahun 2025-kalendar-akademi. – UTUSAN










