BEIJING: China mengumumkan pelaksanaan latihan ketenteraan berskala besar di sekitar Taiwan bermula Isnin, dengan aktiviti tembakan sebenar dijadualkan berlangsung Selasa ini di lima zon perairan dan ruang udara berhampiran pulau itu.
Menurut kenyataan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), latihan tersebut melibatkan Angkatan Darat, Tentera Laut, Tentera Udara dan Pasukan Roket di bawah Pemerintahan Medan Timur, yang dinamakan sebagai Misi Keadilan 2025.
Latihan itu bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan tempur laut dan udara, merangkumi operasi sekatan di pelabuhan dan kawasan strategik, serta keupayaan penguasaan menyeluruh pelbagai dimensi di sekitar Taiwan.
Satu kenyataan berasingan turut mengeluarkan peta lima zon latihan di mana aktiviti tembakan sebenar akan dijalankan dari pukul 8 pagi hingga 6 petang Selasa. Pihak berkuasa China menasihatkan semua kapal dan pesawat awam agar tidak memasuki kawasan berkenaan demi keselamatan.
Jurucakap PLA, Kolonel Kanan Shi Yi berkata, latihan tersebut merupakan amaran tegas terhadap gerakan pemisah kemerdekaan Taiwan dan tindakan yang sah bagi mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah China.
Latihan itu juga menyaksikan aset ketenteraan China menghampiri pulau Taiwan dari pelbagai arah sebagai simulasi serangan bersama, bertujuan menguji keupayaan operasi bersepadu angkatan tentera negara itu.
Ketegangan terkini tercetus susulan hubungan China-Jepun yang meruncing, selain penjualan senjata baharu Amerika Syarikat kepada Taipei bernilai AS$11 bilion, yang mendorong Beijing mengenakan sekatan terhadap syarikat pertahanan AS.
China sebelum ini menegaskan tidak akan menolak penggunaan kekuatan ketenteraan untuk mengambil alih Taiwan, yang dianggap sebagai sebahagian wilayahnya, walaupun pulau itu diperintah secara berasingan sejak beberapa dekad lalu.










