KENYATAAN berseloroh Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah bahawa beliau mungkin masuk Pas mencetuskan pelbagai tafsiran politik, meskipun ia sudah dinafikan oleh Ahli Parlimen Rompin tersebut.
Abdul Khalib dalam ucapannya semasa sambutan ulang tahun ke-40 Pas Rompin pada 24 September lalu dilaporkan berkata: “Biasalah mesyuarat Bersatu kadang-kadang begini, mesyuarat Pas (pula) macam ini. Tetapi tiada masalah Datuk (berpaling ke arah Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah), saya pun kalau payah-payah sangat, saya masuk Pas, Insya-Allah.”
Namun beliau menyifatkan kenyataan tersebut sebagai gurauan yang disalah tafsir oleh pihak-pihak tertentu. Namun, dalam dunia politik, seloroh atau gurauan pun boleh menjadi isyarat awal terhadap perubahan hala tuju.
“Kalau saya nak tinggalkan parti, mungkin saya kata nak masuk UMNO, itu barulah betul. Tapi kita kekal setia bersama Pas dalam komponen Perikatan Nasional (PN), tak patut timbul pun soal lompat parti,” katanya sinis, dalam kenyataan balas yang turut menimbulkan pelbagai reaksi.
Sebagai tokoh utama PN di Pahang, setiap kenyataan Abdul Khalib membawa makna politik yang signifikan, terutama dalam suasana parti politik diwakilinya sedang bergelut dengan isu kepimpinan di peringkat pusat.
Bersatu ketika ini dilanda gelora dalaman yang dilihat boleh menggugat kestabilan dan arah tuju masa depannya. Kemelut terkini berkisar pada desakan dalaman supaya Presiden parti tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatannya selepas terdapat akuan bersumpah (SD) daripada 120 ketua bahagian.
Dalam konteks ini, kenyataan Abdul Khalib dilihat oleh sesetengah pemerhati sebagai isyarat tidak langsung terhadap ketidakpuasan hati terhadap hala tuju semasa parti diwakilinya.
Namun, kenyataan seperti ini boleh menjejaskan imej Bersatu sebagai parti yang mampu berdiri sendiri dalam gabungan PN, jika tidak ditangani dengan bijak oleh pimpinan Pusatnya.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Dr. Che Hamdan Che Mohd. Razali berkata, ini adalah bukti bahawa pimpinan Bersatu peringkat negeri menyedari parti tersebut tiada pengaruh di peringkat akar umbi.
“Pas pula mempunyai pengikut yang komited dan lebih mudah untuk pimpinan menguruskan parti tanpa politiking yang kuat. Untuk kekal menjadi wakil rakyat, buat masa sekarang menyertai Pas lebih tepat. Jujurnya,” katanya.
Beliau berkata, meskipun bukan kenyataan rasmi, ia boleh membuka ruang spekulasi dan menjejaskan keyakinan akar umbi terhadap kestabilan dalaman parti politik berkenaan.
Che Hamdan berkata, kenyataan Abdul Khalib itu membuka ruang analisis tentang masa depan Bersatu, kekuatan Pas dan hala tuju gabungan PN di Pahang.
“Ia menjadi cerminan bahawa dalam politik, setiap kata boleh menjadi peluru atau pelindung, bergantung kepada siapa yang menembak dan siapa yang mentafsir,” katanya.-UTUSAN










