PETALING JAYA: Pelakon, Intan Najuwa, antara selebriti tanah air yang tidak henti mengikuti perkembangan terkini aktivis konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) terutama ketika situasi tegang di perairan antarabangsa pada Khamis.
Menyatakan solidariti, Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, bakal menganjurkan majlis solat hajat khusus bagi mendoakan keselamatan delegasi yang ditahan, walaupun menyedari terdapat pihak yang mungkin akan menimbulkan salah faham.
“Orang mungkin akan menghakimi saya apabila berkongsi perkara ini. Namun saya ingin tegaskan, saya bukan ‘fomo’ (fear of missing out) atau mengharapkan pengiktirafan sesiapa. Saya berkongsi kerana hati saya benar-benar tergerak untuk berbuat demikian,” katanya menerusi platform Threads hari ini.
Menurut Intan, majlis solat hajat tersebut turut disertai oleh anak-anak tahfiz yang turut mendoakan agar aktivis kemanusiaan tersebut segera dibebaskan daripada tahanan Israel.
“Malam ini, saya bersama suami dan anak-anak tahfiz yang kami kasihi akan menunaikan solat hajat khusus untuk mereka. Insya-Allah, kami akan meneruskan setiap malam selagi Allah mengurniakan kekuatan kepada kami.
“Semoga doa-doa yang bersatu ini diangkat dan mereka yang telah diculik oleh Zionis sentiasa berada di bawah lindungan dan jagaan Allah Yang Maha Penyayang,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Intan dilihat aktif berkongsi maklumat dan turut mengikuti siaran langsung yang diadakan oleh beberapa aktivis terkenal termasuk Heliza Helmi dan Ardell Aryana sejak malam tadi, sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi terhadap misi kemanusiaan tersebut. -UTUSAN