SEKTOR pertanian dianggarkan berkembang menyederhana sebanyak 1.2 peratus pada 2025 dengan mencatatkan peningkatan 1.4 peratus pada separuh pertama 2025, disokong oleh prestasi kukuh subsektor kelapa sawit dan pertanian lain.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2026, subsektor kelapa sawit, yang menjadi penyumbang utama kepada sektor ini, berkembang 1.4 peratus berikutan peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) terutama dari Sabah dan Sarawak.
“Hasil buah tandan segar (BTS) yang lebih baik daripada estet kelapa sawit turut membantu prestasi subsektor berkenaan, didorong oleh penambahbaikan pasaran buruh, pengurusan agronomi serta peningkatan mekanisasi dalam aktiviti penuaian dan pengumpulan BTS.
“Subsektor pertanian lain turut meningkat 2.1 peratus, dipacu oleh pertumbuhan pengeluaran padi, sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Dalam tempoh sama, subsektor ternakan mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak dua peratus, disumbangkan oleh peningkatan pengeluaran telur dan ternakan lembu, manakala subsektor perikanan meningkat 2.8 peratus hasil prestasi positif dalam segmen perikanan laut dan akuakultur,” katanya.
Bagaimanapun, subsektor getah menurun secara marginal sebanyak 0.5 peratus susulan pengeluaran lebih rendah dalam segmen pekebun kecil.
“Subsektor perhutanan dan pembalakan turut menguncup 7.6 peratus apabila semua wilayah mencatat penurunan pengeluaran,” ujarnya.
Tinjauan itu menunjukkan pada separuh kedua 2025, sektor pertanian dijangka meningkat satu peratus, disokong oleh pertumbuhan positif dalam kebanyakan subsektor kecuali getah serta perhutanan dan pembalakan.
“Subsektor kelapa sawit dijangka terus berkembang, didorong oleh peningkatan hasil BTS berikutan keadaan cuaca yang menggalakkan serta kecekapan operasi yang lebih baik.
“Pertumbuhan dalam subsektor pertanian lain, perikanan dan ternakan pula disumbangkan oleh peningkatan pengeluaran padi, buah-buahan, akuakultur dan ternakan lembu.
“Selain itu, usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan serta meningkatkan daya tahan industri agromakanan dijangka terus menyokong pertumbuhan sektor ini.
“Pelaksanaan intensif Program Penanaman Padi Lima Musim dalam Tempoh Dua Tahun bagi meningkatkan pengeluaran padi negara juga akan memperkukuh kedudukan sektor pertanian dalam memastikan keterjaminan makanan negara,” katanya. – UTUSAN











