SEKTOR perkhidmatan terus menunjukkan momentum positif apabila berkembang sebanyak lima peratus pada separuh pertama 2025 dan diunjur meningkat 5.1 peratus pada separuh kedua tahun ini.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2026, pertumbuhan itu disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan serta ketibaan pelawat asing yang lebih tinggi, sekali gus merancakkan aktiviti pelancongan domestik.
Jelasnya, secara keseluruhan, sektor berkenaan dijangka mencatat pertumbuhan 5.1 peratus dengan semua subsektor menunjukkan perkembangan positif.
“Subsektor perdagangan borong dan runcit meningkat 4.3 peratus pada separuh pertama 2025, dipacu oleh segmen perdagangan borong dan runcit yang kekal kukuh serta dijangka berkembang 4.4 peratus pada separuh kedua 2025 berikutan peningkatan penggunaan domestik dan perbelanjaan pelawat asing.
“Bagi segmen kenderaan bermotor, subsektor itu diunjur mengalami penguncupan marginal susulan normalisasi jumlah keseluruhan industri (TIV) selepas mencatat jualan tertinggi sebanyak 817,955 unit pada 2024.
“Walaupun jualan kenderaan baharu menunjukkan penyederhanaan, permintaan terhadap kereta nasional kekal tinggi, manakala tempahan kenderaan elektrik (EV) terus meningkat.
“Industri automotif dijangka terus menyokong prestasi subsektor ini selaras dengan jumlah tempahan yang tinggi sepanjang tahun, dengan pertumbuhan keseluruhan 4.4 peratus pada 2025,” katanya.
Bagi subsektor pengangkutan dan penyimpanan pula berkembang sembilan peratus pada separuh pertama 2025, disokong oleh aktiviti perdagangan, perniagaan dan rekreasi rancak serta dijangka meningkat 7.7 peratus dengan pertumbuhan positif dalam semua segmen.
“Pertumbuhan segmen pengangkutan darat dijangka dipacu oleh peningkatan trafik di lebuh raya bertol serta penggunaan pengangkutan rel berikutan tambahan cuti hujung minggu panjang.
“Segmen pengangkutan udara pula diramal berkembang susulan pertambahan penerbangan langsung ke Malaysia oleh syarikat penerbangan antarabangsa termasuk dari China dan Sri Lanka.
“Bagi segmen pengangkutan air, pertumbuhan diunjur kekal positif meskipun berdepan ketidaktentuan perdagangan global yang boleh menjejaskan aliran perkapalan. Secara keseluruhan, subsektor pengangkutan dan penyimpanan dianggarkan berkembang 8.4 peratus pada 2025,” ujarnya.
Tinjauan itu berkata, subsektor hartanah serta perkhidmatan perniagaan turut mencatat peningkatan 8.8 peratus pada separuh pertama 2025, disokong oleh aktiviti profesional, saintifik dan teknikal yang rancak.
“Pertumbuhan subsektor itu dijangka berterusan pada kadar 5.8 peratus pada separuh kedua, dipacu oleh permintaan berterusan terhadap perkhidmatan profesional.
“Insentif perumahan di bawah Belanjawan 2025 serta pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) turut dijangka menggalakkan permintaan harta tanah, menjadikan pertumbuhan keseluruhan subsektor ini sekitar 7.3 peratus tahun ini.
“Bagi subsektor kewangan dan insurans, pertumbuhan sederhana sebanyak 2.1 peratus direkodkan pada separuh pertama 2025, disumbangkan oleh peningkatan kredit dan pendapatan berasaskan fi.
“Subsektor itu dijangka terus meningkat 2.2 peratus pada separuh kedua seiring aktiviti ekonomi yang berterusan, dengan pertumbuhan keseluruhan dianggarkan 2.1 peratus tahun ini,” katanya.
Sementara itu, subsektor maklumat dan komunikasi berkembang 3.5 peratus pada separuh pertama 2025, dipacu oleh peningkatan permintaan terhadap kesalinghubungan digital dan perkhidmatan data serta dijangka mencatat pertumbuhan 3.6 peratus pada separuh kedua, menjadikan pertumbuhan tahunan keseluruhan 3.6 peratus.
“Bagi subsektor makanan dan minuman serta penginapan, peningkatan 8.4 peratus dicatat pada separuh pertama 2025, didorong kadar penginapan hotel dan jumlah pelanggan restoran yang tinggi.
“Pertumbuhan subsektor ini dijangka melonjak 10.5 peratus pada separuh kedua susulan peningkatan ketibaan pelawat asing sebanyak 17.9 peratus, menjadikan keseluruhan pertumbuhan tahun ini sekitar 9.5 peratus,” katanya. – UTUSAN











