PETALING JAYA: Ruang harus diberikan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung insiden tikaman maut melibatkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pagi tadi.
Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo berkata, kejadian tragik itu amat mengejutkan dan tidak sepatutnya berlaku di mana-mana institusi pendidikan yang seharusnya menjadi tempat selamat bagi proses pembelajaran dan pembentukan sahsiah pelajar.
“Kes tikaman maut remaja perempuan ini amat mengejutkan. Tiada tempat untuk keganasan di sekolah.
“Sekolah sepatutnya menjadi tempat untuk pembelajaran, perkembangan diri dan persahabatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gobind yang juga Menteri Digital berkata, beliau selaku Ahli Parlimen bersedia membantu keluarga mangsa bagi memastikan mereka menerima sokongan sewajarnya dalam menghadapi detik sukar ini.
“Pejabat saya di Damansara bersedia membantu ahli keluarga mangsa. Pasukan saya telah diarahkan untuk menghubungi dan memberi sokongan kepada mereka dalam saat sukar ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, mewakili Kementerian Digital dan seluruh pasukannya di Damansara, serta berharap agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan yang amat menyayat hati itu.
Terdahulu, seorang perempuan yang juga pelajar sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, maut selepas ditikam seorang pelajar lelaki pagi tadi.
Utusan Malaysia difahamkan, kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 9.30 pagi selepas suspek dipercayai seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua membawa senjata tajam berupa pisau. – UTUSAN









