PETALING JAYA: Pelakon, Jasmin Hamid, kurang senang dengan sebilangan besar individu yang gemar menghina orang lain di media sosial, malah katanya, golongan itu seperti tidak kenal rasa bersalah selepas menyakitkan hati orang dengan komen-komen jahat yang mereka tinggalkan di Instagram, TikTok, Facebook dan sebagainya.
“Terlalu ramai yang tidak beradab. Kalau tidak, tak adalah mereka ini mudah sangat menghina orang di media sosial. Sebenarnya bukan dalam media sosial sahaja, ramai juga yang tak sensitif apabila bercakap secara berdepan.
“Contoh seorang individu ini yang menyangka saya menderita kencing manis kerana hairan dengan penyusutan berat badan saya. Ibaratnya, kalau kurus itu memang selalu dikaitkan dengan kencing manis.
“Semua ini berbalik kepada adab. Umpama sebelum masuk rumah orang, kena bagi salam. Bercakap biar elok,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Jasmin juga menolak pandangan segelintir pihak yang berpendapat artis harus bersikap terbuka dan berlapang dada berdepan kecaman dan penghinaan.
“Ada yang berpandangan lumrah dunia artis berdepan penghinaan. Kata mereka kalau tak mampu hadap, jangan live di media sosial.
“Mereka lupakah artis ini manusia bukan robot? Saya live di media sosial bukan untuk dikecam atau dihina, tapi untuk dekatkan diri dengan masyarakat,” kongsinya.
Dalam masa yang sama Jasmin juga menghargai setiap individu yang bersikap positif dan selalu memberi semangat dengan berkongsi komen yang baik di media sosial.
“Mereka inilah supporters saya, yang akan beli produk saya, tengok lakonan saya. Saya berkawan dengan mereka, orang-orang ini beradab dan berkualiti.
“Mereka saya tak gelar followers. Kerana ‘followers’ ini adalah dalam kalangan sesiapa sahaja, termasuklah mereka yang suka menghina dan menjatuhkan orang. Saya tak lapar ‘followers’,” katanya.- UTUSAN










